Sekilas
- Aweera menjelaskan lukisan wajah pelakon Siti Khadijah yang dikongsi di media sosial hanyalah tanda penghargaan sempena hari lahir dan bukan bermaksud ada hubungan istimewa.
- Beliau meminati seni lukis dan bakat lakonan Siti Khadijah, namun tiada komunikasi atau isu antara mereka.
- Aweera turut berkongsi keterujaan Konsert Trilogi yang akan berlangsung pada 18 Julai 2026 di UPM Serdang, menampilkan dirinya bersama Aepul Roza dan Fiq Halim.
Penyanyi Aweera tampil menjelaskan tindakannya berkongsi lukisan wajah pelakon Siti Khadijah Halim di media sosial bukan bermaksud mempunyai hubungan istimewa dengan aktres berkenaan.
Menurut Aweera, perkongsian tersebut dibuat sekadar tanda penghargaan terhadap bakat pelakon itu selain bersempena sambutan hari lahirnya.
“Tidak, saya hanya mengucapkan selamat hari lahir kepadanya. Kami tidak mempunyai sebarang hubungan atau komunikasi.
“Saya meminati bakat Siti Khadijah dan sering menonton drama lakonannya,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Trilogi di Ibu Pejabat Rusa Marketing Sdn. Bhd., semalam.
Tambahnya, minat terhadap seni lukis menjadi faktor utama dia menghasilkan potret wajah pelakon tersebut.
“Memandangkan saya meminati seni lukis dan penulisan lirik, saya mendapat idea untuk melukis wajahnya dan kebetulan waktu itu adalah hari lahir dia. Jadi saya kongsikan sahaja.
“Dia pun tidak membalas komen tersebut dan itu adalah haknya. Saya hanya mengagumi bakat dan keterampilan dia sebagai pelakon pelapis yang hebat. Tiada isu apa-apa antara kami,” ujarnya.
Terdahulu, tindakan Aweera memuat naik lukisan wajah Siti Khadijah di media sosial mengundang perhatian ramai sehingga ada yang membuat andaian mengenai hubungan mereka.
Dalam perkembangan lain, Aweera turut berkongsi keterujaan mengenai Konsert Trilogi yang bakal menghimpunkan dirinya bersama Aepul Roza dan Fiq Halim.
“Konsert Trilogi ini merupakan satu pembaharuan bagi saya dan juga sahabat-sahabat seperjuangan. Terima kasih kepada Aepul kerana merealisasikan impian kami.
“Jika diikutkan, lagu Selamatkan Aku sudah berusia hampir 10 tahun sejak rakaman pada 2017. Kini barulah impian untuk mengadakan konsert bagi lagu ini tercapai,” katanya.
Menurutnya, konsert tersebut menjadi satu pencapaian besar memandangkan ia merupakan persembahan berskala besar pertama mereka bersama.
“Saya sangat teruja kerana ini merupakan konsert pertama kami. Insya-Allah ini baru fasa pertama dan kami berharap akan ada fasa kedua serta ketiga pada masa hadapan,” katanya.
Konsert Trilogi dijadual berlangsung pada 18 Julai 2026 di Big Pillars Hall, Astana Putra, UPM Serdang dengan kapasiti terhad seramai 1,000 penonton.
Tiket ditawarkan dalam tiga kategori iaitu VIP berharga RM289, Normal (RM189) dan Standing (RM99).