Sekilas
- Sharifah Sakinah jelaskan sebab dia follow Tareq Fit di Instagram kerana minat dengan kandungan kecergasan yang dianggapnya sebagai satu seni dan ilmu.
- Dia tidak sokong kandungan negatif Tareq dan berharap pendekatan yang lebih berhemah dalam menyampaikan kesedaran kepada masyarakat.
- Sakinah kini muncul dalam filem aksi Tarung: Unforgiven yang ditayangkan di 148 pawagam seluruh negara mulai hari ini.
Pelakon Sharifah Sakinah tampil menjelaskan tindakannya mengikuti personaliti media sosial, Tareq Fit di Instagram selepas perkara itu mengundang perhatian ramai.
Menurut Sakinah, dia melihat kandungan berkaitan kecergasan sebagai sesuatu yang mempunyai nilai seni dan ilmu tersendiri.
“Sejak ramai tanya tentang perkara ini, saya rasa perlu beri penjelasan untuk menjaga rakan-rakan dalam industri seni. Sebenarnya fitness itu juga seni.
“Cara pernafasan ketika bersenam, cara kita bercakap untuk mengajar, semuanya adalah seni. Malah hubungan antara minda dan otot ketika bersenam juga satu bentuk seni,” katanya.
Dalam masa sama, Sakinah menegaskan dia tidak menyokong kandungan negatif yang dikongsikan personaliti media sosial tersebut.
“Saya takkan respons kepada kandungan negatif dia. Tapi saya suka kandungan berkaitan pemakanan dan kecergasan.
“Saya juga pernah bertanya tentang beberapa perkara dan dia nasihatkan supaya kembali kepada fitrah. Saya setuju, yang terbaik adalah sesuatu yang semula jadi,” ujarnya.
Menurut pelakon itu lagi, dia percaya niat Tareq adalah untuk menyampaikan kesedaran kepada masyarakat, namun berharap pendekatan yang digunakan lebih berhemah.
“Saya tahu dia nak cipta kesedaran, cuma harap selepas ini dia dapat sampaikan dengan lebih kasih sayang.
“Kita jangan serang dia, sebaliknya doakan yang baik-baik,” katanya.
Sebelum ini, Tareq mencetuskan perhatian ramai apabila sering menegur golongan selebriti menerusi media sosial dengan menggunakan bahasa yang dianggap kurang menyenangkan.
Dalam perkembangan lain, Sharifah Sakinah kini tampil menerusi filem aksi Tarung: Unforgiven yang mula ditayangkan di 148 pawagam seluruh negara bermula hari ini.
Filem arahan Razaisyam Rashid itu turut dibintangi Mierul Aiman, Aedy Ashraf, Bront Palarae, Zul Ariffin, Amir Ahnaf dan Azira Shafinaz.