Sekilas
- Zul Ariffin bersetuju membintangi filem Tarung: Unforgiven kerana semangat tinggi Aedy Ashraf yang sangat mengagumkan.
- Aedy Ashraf sanggup turun ke gim dan sertai latihan sparring untuk yakinkan Zul menyertai projek tersebut.
- Filem aksi Tarung: Unforgiven kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 7 Mei lalu.
Pelakon Zul Ariffin mendedahkan semangat dan kesungguhan Aedy Ashraf menjadi antara faktor utama dia bersetuju membintangi filem Tarung: Unforgiven.
Menurut Zul, dia sememangnya sudah lama mahu bekerjasama dengan pengarah Razaisyam Rashid sebelum peluang tersebut hadir menerusi filem berkenaan.
“Sebenarnya saya dah lama tahu satu hari nanti saya akan bekerja dengan pengarah di sebelah saya ini (Razaisyam), cuma saya tak tahu projek apa.
“Alhamdulillah dengan adanya saudara Aedy Ashraf, tiba-tiba muncul dekat gim masa saya tengah latihan dan dia menyuarakan idea itu,” katanya.
Tambah Zul, apa yang paling menarik perhatiannya adalah semangat yang dimiliki Aedy untuk merealisasikan filem tersebut.
“Bila kita dengar sedikit sebanyak mengenai skrip dan sebagainya, apa yang saya nampak pada Aedy adalah ‘api’ dia, semangat dia.
“Saya sangat familiar dengan perkara itu. Saya sentiasa nak bekerja dengan orang yang ada ‘api’. Bakat itu kita tolak tepi, tapi semangat untuk menjayakan sesuatu itu yang saya kagumi,” ujarnya.
Menurutnya lagi, dia turut berasa bertuah kerana dapat bekerjasama dengan ramai pelakon hebat termasuk Bront Palarae menerusi filem tersebut.
“Saya rasa bertuah terlibat dalam filem ini,” katanya.
Sementara itu, Aedy pula berkongsi usaha yang dilakukan demi mendapatkan Zul untuk membintangi Tarung: Unforgiven.
Menurut Razaisyam, tugas mendapatkan Zul diserahkan sepenuhnya kepada Aedy manakala dia sendiri bertanggungjawab memujuk Bront Palarae.
“Secara asasnya, untuk dapatkan Zul Ariffin adalah tugas Aedy. Dapatkan Bront adalah tugas saya,” kata Razaisyam.
Aedy bagaimanapun mengakui dia sanggup turun ke gim dan menyertai latihan ‘sparring’ semata-mata mahu meyakinkan Zul.
“Saya betul-betul pergi sparring semasa latihan Zul. Masa itu dia tengah berlatih untuk filem Sangkar atau Fury.
“Saya tengok dari jauh dia tengah ‘pow! pow! pow!’, badan semua tengah sasa. Saya kata misi saya satu saja, saya nak dia berlakon dalam filem saya,” katanya.
Tambah Aedy, dia sanggup mengambil risiko demi memastikan pelakon tersebut bersetuju menyertai projek berkenaan.
“Saya kena tumbuk pun tumbuklah. Jadi kami berbual sedikit dan buat sparring ringan. Sampai tahap itu saya sanggup buat untuk dapatkan Zul Ariffin dalam TARUNG: Unforgiven,” ujarnya.
Filem aksi TARUNG: Unforgiven kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei lalu.