Sekilas
- Datin Lisa Surihani akan menunaikan ibadah haji dan meluahkan rasa syukur atas peluang tersebut melalui perkongsian di Instagram.
- Lisa memohon maaf atas segala kesilapan dan mengucapkan terima kasih kepada keluarga serta sahabat yang membantu menyediakan kelengkapan ibadahnya.
- Beliau juga memohon doa agar urusan ibadah haji dipermudahkan dan mendapat haji yang mabrur untuk dirinya dan jemaah lain.
Pelakon, Datin Lisa Surihani berkongsi bakal ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Lisa meluahkan rasa syukur kerana diberikan kesempatan untuk menyahut panggilan suci sebagai tetamu Allah bagi menunaikan rukun Islam kelima itu.
“Dengan rendah hati, insya-Allah saya bakal berangkat untuk menunaikan ibadah rukun Islam yang ke-5, perjalanan yang amat bermakna, sementara mengharap dan mendoakan moga dapat melaksanakan jihad ini sebaik-baiknya.
“Sebelum melangkah pergi, saya dengan tulus ikhlas menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki atas segala kesilapan, tutur kata atau perbuatan yang mungkin pernah mengguris hati, sama ada sengaja mahupun tidak,” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, Lisa turut menzahirkan penghargaan kepada keluarga serta sahabat terdekat yang banyak membantu menyediakan kelengkapan bagi memudahkan urusan ibadahnya di sana.
“Hati saya juga diselubungi rasa syukur yang tidak terhingga buat insan-insan mulia yang sangat pemurah memberi pelbagai kelengkapan dan buah tangan bagi memudahkan urusan ibadah saya di sana.
“My family and friends, you know who you are. Love you all, Lillahi ta’ala. Semoga Allah membalas segala kebaikan Anda dengan ganjaran yang melimpah ruah. Allahumma Aameen,” katanya.
Pada masa sama, Lisa turut memohon doa orang ramai agar segala urusan ibadah hajinya serta jemaah lain dipermudahkan dan dikurniakan haji yang mabrur.
“Bismillah, semoga Allah SWT mengurniakan saya dan seluruh jemaah haji, haji yang mabrur, bukan sekadar pulang dengan lega, tetapi pulang sebagai insan yang diperbaharui. Allahumma Aameen.
“Doakan kami juga ya. Labbayk Allahumma Labbayk,” tambahnya.