Sekilas
- Bekas pemain badminton negara Wong Mew Choo kembali aktif sebagai duta produk yang fokus membantu masyarakat, termasuk ibu tunggal dan golongan OKU.
- Lee Chong Wei membuat kejutan ulang tahun buat isterinya dalam majlis khas yang turut dihadiri selebriti dan tetamu kehormat.
- Syarikat yang diwakili Wong Mew Choo menyediakan latihan percuma dan peluang pekerjaan dalam bidang kecantikan untuk golongan memerlukan.
Bekas pemain badminton negara Wong Mew Choo kembali mencuri perhatian apabila tampil dalam sebuah majlis khas yang turut dihadiri suaminya, Lee Chong Wei bersama anak-anak mereka.
Kehadiran keluarga legenda badminton negara itu menjadi lebih istimewa apabila Lee Chong Wei turut membuat kejutan ulang tahun kelahiran buat isterinya di hadapan tetamu yang hadir.
Namun di sebalik kemeriahan majlis tersebut, Wong Mew Choo mengakui ada sebab lebih besar mengapa dia bersetuju menerima penglibatan tersebut selepas sekian lama tidak aktif dalam sebarang kempen komersial.
“Saya difahamkan melalui produk ini mereka akan melakukan banyak perkara bermanfaat untuk membantu masyarakat terutamanya menyediakan latihan percuma dan membantu ibu tunggal dan golongan OKU mendapatkan pekerjaan.
“Itu sebabnya, buat pertama kalinya saya bersetuju menjadi duta produk ini memandangkan penglibatan saya ini dapat memberi makna kepada orang lain… itu sebabnya saya sanggup bersama,” katanya.

Menurut Wong Mew Choo, sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, fokus utamanya lebih terarah kepada keluarga dan anak-anak.
“Selama ini saya hanya memberi fokus kepada keluarga dan anak-anak dan hampir tidak terlibat dalam sebarang tawaran komersial.
“Bukan kerana wang saya terima tawaran ini, cuma kali ini berbeza kerana nilai dan tanggungjawab yang produk dan syarikat ini tampilkan,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Sheri Yap menjelaskan bahawa mereka mahu membuka lebih banyak peluang kepada golongan memerlukan untuk menjana pendapatan sendiri.
“Selagi mereka sanggup belajar dan rajin berusaha, syarikat bersedia melatih mereka menjadi pakar kecantikan profesional, menyediakan peluang pekerjaan yang stabil, serta membantu menjana pendapatan yang lumayan,” katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri beberapa nama terkenal termasuk Emma Maembong, Dato Joe Lee dan beberapa tetamu kehormat lain.
