Sekilas
- Amira Othman mengesahkan dirinya sedang hamil hampir 30 minggu dan dijangka melahirkan pada penghujung Jun atau awal Julai.
- Amira memilih untuk merahsiakan berita kehamilan pada awalnya bagi mengelakkan perkara tidak diingini dan hanya mengalami alahan teruk pada trimester pertama.
- Spekulasi kehamilan Amira mula timbul selepas penampilannya yang menampakkan ‘baby bump’ ketika majlis Hari Raya baru-baru ini.
Teka-teki mengenai penyanyi, Amira Othman terjawab apabila isteri kepada pelakon, Fattah Amin itu mengesahkan dirinya sedang hamil.
Menurut Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, usia kandungannya ketika ini sudah hampir 30 minggu dan dijangka melahirkan sama ada penghujung Jun ataupun awal Julai.
“Hari ini saya kongsikan bahawa memang saya sedang hamil selama 30 minggu. Alhamdulillah, saya mohon doa dari kalian agar dipermudahkan urusan kandungan serta urusan bersalin saya.
“Semua ini adalah rezeki dan saya rasa hari ini adalah hari terbaik untuk saya umumkan sebab saya pun dah tak boleh nak sorok perut saya.
“Saya dijangka melahirkan samada pada penghujung Jun atau pada awal Julai,”katanya kepada Gempak.
Ujar Amira, dia tidak berniat untuk merahsiakan mengenai berita gembira itu sebelum ini. Jelasnya, dia memilih untuk tidak berkongsi kerana mahu mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini.
“Tiada niat untuk saya sorokkan berita gembira ini. Sebagai seorang Islam, perkara yang baharu jadi seeloknya kita tidak kongsikan dahulu demi mengelakkan pelbagai perkara,” katanya lagi.
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Hati-Hati ini memaklumkan bahawa dia hanya mengalami alahan teruk pada trimester pertama namun bersyukur segalanya dipermudahkan.
“Saya hanya alami alahan teruk pada trimester pertama namun tidak mengidam apa-apa yang pelik,” ujarnya.
Sebelum ini spekulasi mengenai kehamilan Amira mula menjadi buah mulut peminat apabila penampilannya yang didakwa jelas menampakkan ‘baby bump’ ketika menghadiri sebuah majlis Hari Raya baru-baru ini.
Amira bagaimanapun belum mahu mengulas lanjut mengenai spekulasi itu namun meminta ramai untuk mendoakan kesihatannya.
Untuk rekod, pasangan selebriti ini mendirikan rumah tangga pada 14 September 2025 di Sepang, Selangor.