Sekilas
- Ako Mustapha mendedahkan anaknya, Mika, akan menjalani dua sesi rawatan psikiatri di HKL dan satu sesi bersama pakar dari Bukit Aman susulan trauma akibat buli.
- Ako menekankan pentingnya keselamatan dan emosi Mika, yang kini sering ketakutan dan tidur bersama keluarganya untuk rasa dilindungi.
- Siasatan kes buli masih berjalan melibatkan kanak-kanak, ibu bapa, doktor, dan guru besar bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian.
Pelakon, Ako Mustapha mendedahkan anaknya, Mika telah dijadualkan untuk menjalani beberapa rawatan psikiatri daripada pakar susulan trauma yang dialami selepas dipercayai menjadi mangsa buli baru-baru ini.
Menurut Ako, Mika akan menjalani dua sesi bersama pakar psikiatri di Hospital Kuala Lumpur (HKL), selain turut bertemu pakar daripada Polis Diraja Malaysia bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Mika akan bertemu pakar psikiatri di HKL untuk dua sesi, manakala satu lagi pertemuan adalah bersama pakar daripada Bukit Aman.
“Pertemuan dengan pakar Bukit Aman amat penting kerana mereka mempunyai kepakaran khusus untuk menyoal siasat kanak-kanak. Cara orang dewasa bertanya kadangkala boleh menakutkan lagi mereka,” katanya kepada Gempak.
Sebagai seorang bapa, Ako mengakui dia kini lebih mengutamakan keselamatan dan emosi anaknya yang masih berdepan trauma akibat kejadian tersebut.
“Sebagai bapa, saya mahu dia rasa selamat. Disebabkan trauma ini, dia sering ketakutan.
“Malah setiap malam, dia akan tidur di atas katil bersama kami supaya dia rasa dipantau dan dilindungi,” ujarnya.
Pada masa sama, Ako memaklumkan siasatan kes berkenaan masih berjalan dan memerlukan masa kerana melibatkan ramai pihak.
“Siasatan masih berjalan. IO memaklumkan kes akan mengambil masa kerana bukan sahaja kanak-kanak terlibat yang disiasat, malah ibu bapa, doktor dan guru besar turut dipanggil bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian,” katanya lagi.
Terdahulu, kisah Mika mula mendapat perhatian ramai selepas Ako mendedahkan anaknya itu menjadi mangsa buli sejak setahun lalu.
Menurutnya, sebelum ini pembuli hanya merosakkan barangan peribadi Mika, namun keadaan menjadi semakin serius tahun ini sehingga menjejaskan emosi dan keinginan anaknya untuk hadir ke sekolah.
Pada 23 April lalu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman turut mengesahkan bahawa kertas siasatan berhubung kejadian tersebut telah dibuka mengikut prosedur sedia ada.