Sekilas
- Cik B menjelaskan penampilannya yang dikatakan ‘boyish’ sebenarnya memakai pakaian uniseks dan rambut pendeknya menyebabkan salah faham imej.
- Beliau memilih gaya berpakaian mengikut keselesaan dan keyakinan diri, serta mula berubah dengan memakai skirt pada minggu keempat TTMM2.
- Talk To My Manager 2 disiarkan setiap Ahad di Astro Ria dan menampilkan barisan pengurus-artis popular serta dikendalikan oleh Aznil Nawawi.
Bintang program Talk To My Manager 2 (TTMM2), Cik B tampil menjelaskan mengenai penampilannya yang dikatakan terlalu ‘boyish’ oleh segelintir netizen selepas persembahannya minggu lalu.
Menurut Cik B atau nama sebenarnya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 21, pakaian digayakan sebelum ini sebenarnya merupakan busana uniseks yang boleh dipakai oleh lelaki mahupun wanita.
Bagaimanapun kata Cik B, disebabkan potongan rambutnya yang pendek membuatkan ramai salah faham terhadap imejnya.
“Ramai cakap saya pakai baju ‘boyish’, baju yang saya pakai itu sebenarnya baju unisex, lelaki dan perempuan pun boleh pakai.
“Cuma rambut saya sahaja yang pendek, jadi mereka nampak saya ini seolah-olah nak berpakaian lelaki,” jelasnya.
Cik B berkata demikian ketika ditemui selepas tamat konsert minggu keempat TTMM2 bertempat di Auditorium MBSA Shah Alam pada Ahad.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Cik B berkata dia lebih selesa memilih gaya pakaian yang bersesuaian dengan bentuk badan serta keyakinan dirinya ketika tampil di pentas.
“Sebenarnya saya berpakaian mengikut keselesaan. Saya ini sudahlah berbadan besar, nak tengok ke saya pakai crop top?
“Untuk persembahan minggu keempat ini saya memakai skirt, jadi perlahan-lahan lah berubah,” ujarnya.
Terdahulu, penampilan Cik B di minggu ketiga TTMM2 menjadi perhatian netizen apabila ada yang mendakwa gaya pemakaiannya kelihatan terlalu ‘boyish’.
Malah, perkara itu turut mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial apabila ada segelintir netizen mempersoalkan tentang pemilihan pemakaiannya.
Namun, tidak kurang juga ada netizen yang mempertahankan Cik B dan menyifatkan setiap individu berhak memilih gaya berpakaian mengikut keselesaan masing-masing.
Minggu keempat TTMM2 menyaksikan Datuk Fazley & Fariedz Fazley menjadi pasangan kedua meninggalkan pentas tersebut.
Antara barisan pengurus artis yang bertanding untuk musim kedua adalah Adira dan Anggrek, Ani Maiyuni dan Viviana, Datuk A. Aida dan Azeva, Datuk Fazley dan Fariedz Fazley.
Malah TTMM2 juga menyaksikan penyertaan Datuk Seri Vida dan Cik B, Jamilulhayat dan Hussain, Linda Jasmine dan Ratu, Nana Mahazan dan Althea, Pak Azad dan Amarra, serta Safura dan Kim Khairii.
Program ini dikendalikan oleh pengacara legenda, Aznil Nawawi, bersama barisan juri ternama iaitu Sarimah Ibrahim, Datuk AC Mizal dan Jaclyn Victor selaku juri jemputan.
Setiap pasangan ‘pengurus-artis’ dinilai secara keseluruhan dengan pecahan 60 peratus untuk pengurus dan 40 peratus untuk artis.
Saksikan konsert Talk To My Manager 2 setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam.
Program ini juga boleh distrim secara On Demand menerusi aplikasi Astro GO dan Sooka.