Skip to main content

Berita Tempatan

Mak Yong Diberi Nafas Baharu Menerusi Adaptasi Karya Shakespeare, Vanidah Imran & Issey Teraju Utama

Astro Gempak makyong

Sekilas

  • Dewan Filharmonik PETRONAS akan mengadakan pementasan 'Mak Yong Shakespeare: The Comedy Of Errors – An Adaptation' pada 25 Julai yang menggabungkan teater tradisional Mak Yong dengan karya Shakespeare.
  • Pementasan ini mengekalkan elemen tradisional seperti tarian dan muzik sambil menggunakan gabungan bahasa Melayu dan Inggeris untuk menarik pelbagai lapisan penonton.
  • Selain pementasan, bengkel Mak Yong juga akan diadakan pada hari yang sama dengan harga tiket bermula RM69 hingga RM169 dan bengkel RM50 seorang.

Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) bakal mempersembahkan sebuah pementasan unik yang menggabungkan warisan tradisional Malaysia dengan karya klasik Barat menerusi 'Mak Yong Shakespeare: The Comedy Of Errors – An Adaptation' pada 25 Julai ini.

Persembahan yang akan berlangsung pada jam 8 malam di Dewan Filharmonik PETRONAS itu merupakan sebahagian daripada usaha DFP dalam memperkasakan seni dan budaya tempatan kepada khalayak yang lebih luas.

Dikemudikan pengarah teater terkenal, Norzizi Zulkifli, pementasan tersebut menggabungkan teater tradisional Mak Yong yang diiktiraf sebagai Warisan Dunia UNESCO dengan karya komedi terkenal William Shakespeare, 'The Comedy Of Errors'.

Menariknya, pementasan ini masih mengekalkan elemen tradisional Mak Yong seperti tarian, muzik, nyanyian dan improvisasi dialog, namun dipersembahkan menerusi jalan cerita adaptasi karya Shakespeare hasil terjemahan Fasyali Fadzly.

Gabungan bahasa Melayu dan Inggeris yang digunakan turut menjadikan persembahan ini lebih dekat dengan pelbagai lapisan penonton termasuk generasi muda dan penonton antarabangsa.

Menurut pihak DFP, pendekatan tersebut bukan sahaja bertujuan memelihara identiti budaya tempatan, malah membuka ruang baharu kepada seni tradisional untuk terus berkembang seiring perubahan zaman.

Naskhah 'The Comedy Of Errors' yang ditulis sekitar tahun 1592 hingga 1594 mengisahkan sebuah keluarga yang terpisah akibat ribut laut, sebelum pelbagai insiden lucu berlaku akibat kekeliruan identiti melibatkan pasangan kembar seiras.

Pementasan ini dibarisi pelakon seperti Mhia Farhana Firdaus, Rosdeen Suboh, Asrulfaizal Kamaruzaman, Salsabila Sofian, Issey, Shahkimin, Ismadian, JZ Jasli dan Ain Sufia.

Turut membuat penampilan khas ialah Vanidah Imran serta Norzizi sendiri.

Untuk rekod, Norzizi sebelum ini pernah menghasilkan beberapa karya yang menggabungkan elemen teater tradisional dan karya Shakespeare termasuk 'Mak Yong Titis Sakti', 'Throne Of Thorns' dan 'Randai Macbeth'.

Selain pementasan utama, orang ramai juga boleh menyertai bengkel Mak Yong yang akan berlangsung pada hari sama di DFP.

Tiket bagi 'Mak Yong Shakespeare: The Comedy Of Errors – An Adaptation' ditawarkan pada harga bermula RM69 hingga RM169, manakala bengkel Mak Yong berharga RM50 seorang.

Anda mungkin berminat dengan

Laneige Lip Sleeping Mask

Laneige Lip Sleeping Mask

PUMA Portugal '25 Home Men's Soccer Jersey

PUMA Portugal '25 Home Men's Soccer Jersey

Canmake Marshmallow Finish Powder ~Abloom~

Canmake Marshmallow Finish Powder ~Abloom~

adidas Lifestyle ADIDAS DISNEY MICKEY MOUSE CAP Unisex Blue KA9885

adidas Lifestyle ADIDAS DISNEY MICKEY MOUSE CAP Unisex Blue KA9885

LANEIGE Lip Sleeping Mask

LANEIGE Lip Sleeping Mask

SHEGLAM For The Flush Lip & Cheek Lip Tints

SHEGLAM For The Flush Lip & Cheek Lip Tints

Must Watch Video

Advertisement