Sekilas
- Datin Lisa Surihani berkongsi pengalaman bermakna ketika mengerjakan ibadah haji yang membuatkan dia lebih menghargai rezeki dalam hidup.
- Dia menerima sarapan secara spontan daripada sahabatnya, Kak Ina, walaupun pada awalnya tidak berniat untuk makan.
- Lisa melihat pemberian itu sebagai manifestasi sifat Allah yang Maha Pemurah dan Lembut, yang memberi rezeki tanpa syarat.
Pelakon, Datin Lisa Surihani berkongsi satu pengalaman bermakna ketika mengerjakan ibadah haji yang membuatkan dirinya lebih menghargai setiap rezeki yang hadir dalam kehidupan.
Menerusi satu hantaran di Threads, Lisa mendedahkan dia pada awalnya tidak pasti apa yang ingin dimakan untuk sarapan, malah pada ketika itu dia tidak berasa terlalu lapar atau terlalu kenyang sehingga terfikir untuk tidak bersarapan.
Bagaimanapun, tindakan spontan daripada seorang sahabat yang dipanggil Kak Ina membuatkan hatinya tersentuh.
“Pada mulanya saya tidak tahu mahu makan apa untuk sarapan. Saya juga tidak begitu lapar atau kenyang.
“Selepas beberapa ketika, sahabat saya, Kak Ina menghantar mesej dan memberitahu dia sudah membelikan mi dan kopi latte panas untuk saya. Ketika itu saya rasa satu perasaan hangat menyentuh hati saya,” kongsinya.
Lisa percaya walaupun dia berniat untuk tidak bersarapan pada hari tersebut, Allah SWT telah menetapkan rezeki itu tetap akan sampai kepadanya melalui insan yang dipilih-Nya.
“Walaupun saya bercadang untuk tidak bersarapan, Allah Yang Maha Pemberi Rezeki telah menentukan bahawa saya tetap akan bersarapan pada hari itu.
“Kak Ina dipilih sebagai perantara untuk menyampaikan rezeki tersebut kepada saya,” katanya.
Tambah Lisa lagi, dia tidak pernah memberi sebarang petunjuk atau meminta sahabatnya membelikan makanan untuknya.
“Saya tidak memberi sebarang bayangan atau meminta dia membelikan sarapan untuk saya.
“Tetapi Allah Yang Maha Pemurah memberikan rezeki itu tanpa syarat dan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Ia adalah hadiah yang tidak saya usahakan untuk memulakan hari saya. Ia sangat bermakna, sangat manis dan penuh perhatian. Cara Kak Ina menghantar mesej kepada saya juga dipenuhi dengan kebaikan dan kelembutan.
“Saya melihatnya sebagai manifestasi sifat Allah Yang Maha Lembut. Kelembutan yang hadir secara halus tetapi mampu menyentuh hati,” katanya lagi.