Skip to main content

Hiburan

“Dia Pun Tak Berapa Betul, Tak Tahu Ke Kisah Silam Dia?” - Saiful Apek

Astro Gempak 544

Sekilas

  • Saiful Apek akui risau apabila ada pihak yang kurang senang dengan usaha beliau berkongsi kata-kata semangat di media sosial.
  • Beliau percaya setiap orang ada kekurangan dan berhak berubah, jadi memilih untuk terus menyebarkan mesej positif bagi membantu mereka yang sedang menghadapi cabaran hidup.
  • Saiful Apek menggunakan pendekatan santai dan mesra dalam menyampaikan motivasi, yang kini semakin mendapat sambutan di platform Threads.

Pelakon dan pelawak Saiful Apek mengakui berasa bimbang apabila wujud segelintir pihak yang kurang senang dengan usahanya berkongsi kata-kata semangat dalam media sosial.

Menurut Apek atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, dia menyedari ada pihak yang mempersoalkan kelayakannya memberi nasihat berdasarkan kisah silam yang pernah dilaluinya.

“Ketika ini, ramai yang minta saya beri kata-kata semangat dalam media sosial. Saya agak risau apabila dalam saya hendak menyampaikan kata-kata semangat, ada minoriti yang rasa kurang senang.

“Ada yang persoal, kenapa hendak dengar cakap Apek? Dia pun tak berapa betul. Tidak tahu ke kisah silam dia?” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem The Real Mamu baru-baru ini.

Bagaimanapun, pelakon berusia 56 tahun itu berpendapat setiap manusia mempunyai kekurangan dan berhak untuk berubah menjadi lebih baik.

“Bagi saya, tiada orang yang berkelakuan jahat tiada masa hadapan. Tiada orang baik yang tiada kisah silam.

“Setiap manusia ada kebaikan dan kekurangan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Apek berkata dia memilih untuk terus menyebarkan perkara positif kerana percaya kata-kata semangat mampu memberi kesan kepada mereka yang sedang berdepan ujian hidup.

“Dalam hidup ini, Allah beri kita peluang dan pilihan. Jadi, saya pilih untuk terus berjuang dan sampaikan kata-kata yang sebenarnya banyak buat orang terkesan.

“Biarlah kebaikan itu beri kesan kepada mereka untuk dijadikan iktibar dan pembakar semangat,” katanya.

Menurutnya, ramai individu kini berdepan pelbagai cabaran termasuk kebimbangan melampau, serangan panik dan tekanan emosi sehingga memerlukan sokongan moral daripada orang sekeliling.

“Ketika ini ramai orang dilanda kebimbangan, serangan panik dan tekanan.

“Mereka memang serius dan bukan main-main. Mereka malu hendak bercerita dengan orang lain.

“Apabila bercerita dengan saya, mereka rasa senang dan mudah untuk luah. Mereka fikir saya lebih memahami,” katanya.

Tambah Apek, bukan semua orang yang menghubunginya meminta bantuan kewangan, sebaliknya ada yang hanya memerlukan sokongan emosi dan motivasi.

“Tolak tepi soal bantuan kewangan. Ramai juga yang perlukan sokongan moral.

“Selalunya ini kerja pakar motivasi dan pendakwah. Namun, saya tidak keberatan untuk menggalas tanggungjawab ini,” ujarnya.

Katanya lagi, dia lebih gemar menggunakan pendekatan santai dan bersahaja ketika menyampaikan mesej kepada pengikutnya.

“Saya selalu gunakan kaedah yang lebih mesra. Saya tidak suka yang terlalu puitis dan membuat orang penat berfikir.

“Mereka banyak minta saya berikan kata-kata semangat yang mudah dan kelakar. Walaupun nampak mudah, tetapi ada makna tersirat,” katanya.

Terdahulu, Saiful Apek dilihat semakin aktif berkongsi kata-kata motivasi menerusi Threads selepas ramai netizen meminta dia terus menghasilkan kandungan yang memberi semangat dan inspirasi kepada masyarakat.

Anda mungkin berminat dengan

POP MART DIMOO Moments in Bloom Series Figures

POP MART DIMOO Moments in Bloom Series Figures

Skechers Unisex CNY Short Sleeve Tee

Skechers Unisex CNY Short Sleeve Tee

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB587

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB587

adidas Football Liverpool FC 25/26 Away Jersey Men White JV6487

adidas Football Liverpool FC 25/26 Away Jersey Men White JV6487

T7 Baby T-Shirt Youth in Poised Pink by PUMA, 15-16Y

T7 Baby T-Shirt Youth in Poised Pink by PUMA, 15-16Y

POP MART Residents of Bikini Bottom-Whimsical Plush Part2 Blind Box (Whole Set)

POP MART Residents of Bikini Bottom-Whimsical Plush Part2 Blind Box (Whole Set)

Must Watch Video

Advertisement