Sekilas
- Mahkamah Tinggi memerintahkan Datuk Seri Aliff Syukri membayar ganti rugi RM250,000 dan kos RM50,000 kepada Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dalam kes saman fitnah berkaitan hutang pelaburan.
- Aliff Syukri dilarang menerbitkan sebarang kenyataan fitnah terhadap Abdul Kadir dan perlu menghapuskan semua libel di media sosial dalam tempoh tujuh hari.
- Saman difailkan selepas Aliff Syukri didakwa membuat kenyataan fitnah di Instagram dan Facebook pada Julai 2023 mengenai hutang pelaburan puluhan juta ringgit.
Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman membayar ganti rugi RM250,000 kepada Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dalam kes saman fitnah berhubung hutang pelaburan puluhan juta ringgit.
Hakim Roslan Mat Nor memutuskan demikian selepas membenarkan saman dikemukakan bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan itu selaku plaintif terhadap Aliff Syukri sebagai defendan.
Mahkamah turut memerintahkan Aliff Syukri membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Abdul Kadir.
"Defendan sama ada pegawai atau ejennya dihalang menerbitkan, menyebabkan diterbitkan perkara diadukan atau apa-apa lain yang mempunyai kesan sama.
"Defendan sama ada melalui khidmat atau ejennya menghapuskan libel (fitnah bertulis) yang diterbitkan terhadap plaintif daripada semua akaun media sosial dalam tempoh tujuh hari daripada perintah ini.
"Defendan juga perlu memberi aku janji bertulis bahawa defendan tidak akan menyebabkan atau menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif," kata Hakim Roslan.
Bagaimanapun, Abdul Kadir dan Aliff Syukri tidak hadir pada prosiding itu.
Pada 16 April 2024, Mahkamah Tinggi mengarahkan perbicaraan bagi kes saman difailkan Abdul Kadir terhadap Aliff Syukri berhubung kenyataan fitnah membabitkan hutang pelaburan puluhan juta ringgit.
Abdul Kadir memfailkan saman pada 6 September 2023 mendakwa Aliff Syukri yang terbabit dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut yang ramai di platform media sosial iaitu Facebook, Instagram dan lain-lain, mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya di Instagram dan Facebook pada 2 Julai 2023.
Beliau turut mendakwa kenyataan itu membawa maksud antaranya beliau berhutang dengan defendan berjuta-juta ringgit, selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan tersebut telah mengundang komen negatif daripada pembaca.
Antara tuntutan Abdul Kadir termasuk memohon defendan membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah, selain perintah supaya defendan memberikan aku janji bertulis supaya tidak menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di akaun media sosial defendan, dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah ini.
Sementara itu, Aliff Syukri menerusi pernyataan pembelaannya mendakwa sudah membuat bayaran pelaburan sebanyak RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usaha sama bertarikh 26 November 2018 yang membabitkan plaintif, defendan serta dua syarikat.
Pihak-pihak di dalam perjanjian usaha sama gagal membuat pembayaran wang yang dilaburkan olehnya dan segala pelanggaran janji sedemikian termasuklah aku janji yang diberikan plaintif kepadanya adalah di dalam pengetahuan plaintif sendiri.
Sumber: Bernama