Sekilas
- Datuk Seri Maria Menado, seniwati legenda filem Melayu era 1950-an, meninggal dunia pada usia 94 tahun akibat sakit tua.
- Allahyarham terkenal dengan peranan utama dalam filem seram klasik Pontianak (1957) dan menerima pengiktirafan antarabangsa sepanjang kerjayanya.
- Jenazah akan dibawa ke kediaman keluarga di Bukit Jelutong sebelum urusan pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Dunia seni tanah air kehilangan sebutir lagi bintang apabila seniwati legenda, Datuk Seri Maria Menado, meninggal dunia pada jam 12.25 tengah hari, hari ini, pada usia 94 tahun.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua di sisi ahli keluarga di sebuah pusat perubatan swasta
Mengesahkan berita ini, menantu Allahyarham, Sairul Amar Ayob berkata, ibu mertuanya sebelum ini dimasukkan ke pusat perubatan pada 14 April lalu.
"Allahyarham Datuk Seri Maria Menado menghembuskan nafas terakhir dengan tenang," kata Sairul kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Menurut Sairul juga, pada masa ini, jenazah Allahyarham Maria masih di hospital dan akan dibawa pulang ke kediaman keluarga di Bukit Jelutong, Selangor bagi memberi peluang kepada kaum keluarga dan sahabat serta kenalan memberi penghormatan terakhir.
Kata Sairul juga, usia penghormatan terakhir, jenazah Allahyarham ibu mertuanya juga akan dibawa ke Masjid Bukit Damansara untuk urusan pengurusan jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Dilahirkan dengan nama asal Liesbet Dotulong pada 2 Februari 1932 di Minahasa, Sulawesi Utara, Allahyarham merupakan antara bintang filem Melayu paling berpengaruh pada era kegemilangan perfileman Melayu sekitar tahun 1950-an hingga awal 1960-an.
Allahyarham mula menempah nama dalam industri perfileman selepas berhijrah ke Singapura dan menyertai Malay Film Productions serta Cathay-Keris Film Productions, sebelum muncul sebagai salah seorang pelakon wanita utama pada zaman tersebut.
Nama Maria Menado melonjak ke puncak populariti menerusi lakonannya sebagai watak utama dalam filem Pontianak (1957), yang dianggap sebagai antara filem seram Melayu terawal, sekali gus menjadikan beliau ikon awal genre tersebut.
Peranan berkenaan mengukuhkan kedudukannya sebagai pelakon wanita yang berpengaruh dalam sejarah perfileman tempatan.
Pada kemuncak kerjayanya, Allahyarham turut menerima pengiktirafan antarabangsa, antaranya gelaran“Wanita Terjelita Malaya” oleh Times Magazine serta “Wanita Berpakaian Paling Menarik di Asia Tenggara” oleh agensi berita United Press International.
Sumber: Astro AWANI