Sekilas
- Sufian Suhaimi tidak menggalakkan anaknya memilih bidang nyanyian sebagai kerjaya kerana industri hiburan dianggap berisiko dan mencabar.
- Beliau menegaskan walaupun anaknya boleh berminat dengan muzik, ia tidak patut dijadikan sumber pendapatan utama.
- Sufian berkongsi bahawa dalam industri hiburan, seseorang mudah terpengaruh dan melakukan perkara yang tidak dijangka walaupun mempunyai pegangan agama yang kuat.
Penyanyi, Sufian Suhaimi berkongsi bahawa dia tidak menggalakkan anaknya untuk menjadikan bidang nyanyian sebagai pilihan kerjaya pada masa hadapan.
Menerusi perkongsian dalam sebuah podcast, Sufian menyifatkan industri hiburan sebagai satu bidang yang mencabar kerana seseorang mudah terpengaruh sekiranya tidak mempunyai pegangan dan bimbingan yang kuat.
“Aku tak syorkan anak aku jadi penyanyi. Tak payahlah, bahaya industri hiburan. Terlalu mudah untuk kau ‘tergelincir’. Walaupun ilmu agama tinggi masih susah,” ujarnya.
Bagaimanapun, pelantun lagu Terakhir itu menegaskan bahawa dia tidak pernah menghalang minat anaknya terhadap muzik, sebaliknya hanya tidak mahu bidang tersebut dijadikan sebagai sumber pendapatan utama.
“Nak minat muzik boleh, tetapi bagi aku tak perlu jadikan minat itu sebagai sumber pendapatan.
“Bila kau dalam industri hiburan, kau memang akan buat perkara yang menghiburkan sahaja. Kawan-kawan pun dah lain. Perkara yang kau rasa tidak akan buat selama ini, kau buat,” kongsinya.