Sekilas
- Aisar Khaled memohon maaf secara terbuka selepas video berkaitan insiden keganasan terhadap pembantu rumah warga Indonesia tular di media sosial.
- Beliau mengakui tidak membuat penelitian secukupnya sebelum berkongsi pandangan dan bertanggungjawab atas kesilapan tersebut.
- Insiden itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen dan mendapat perhatian meluas termasuk dari negara jiran.
Personaliti media sosial, Aisar Khaled tampil memohon maaf secara terbuka susulan video yang dimuat naiknya berhubung kes tular membabitkan insiden keganasan terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia.
Menerusi perkongsian di Threads, Aisar mengakui melakukan kesilapan kerana tidak membuat penelitian secukupnya sebelum berkongsi pandangan mengenai isu berkenaan.
“Saya ingin memohon maaf dengan ikhlas atas video yang saya muat naik sebelum ini berkaitan kes melibatkan seorang pembantu rumah dan majikannya.
“Selepas membaca dan meneliti isu tersebut dengan lebih mendalam, saya sedar bahawa saya tidak membuat kajian yang mencukupi sebelum berkongsi video itu.
“Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan tersebut,” katanya.
Menurut Aisar, dia tidak pernah berniat untuk mempertahankan mana-mana pihak atau memberikan gambaran negatif terhadap rakyat Malaysia menerusi perkongsian tersebut.
“Niat saya bukanlah untuk membela mana-mana pihak atau menggambarkan rakyat Malaysia secara negatif,” ujarnya.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan insiden didakwa keganasan fizikal terhadap seorang wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.

Susulan kes tersebut, beberapa pempengaruh dan selebriti turut memberikan pandangan masing-masing, namun sebahagiannya menerima kecaman netizen kerana didakwa mengulas isu berkenaan tanpa mengetahui fakta sebenar.
Dalam masa sama, kes berkenaan turut mendapat perhatian meluas sehingga melibatkan perbincangan pengguna media sosial dari negara jiran.
Sumber: Threads