Sekilas
- Vanessa Reynauld mengakui dia berasa gentar apabila mengetahui Jaclyn Victor, penyanyi legenda, turut menyertai pertandingan muzik Singer 2026 - Malaysia.
- Dia hampir menarik diri tetapi berjaya mengatasi rasa takut selepas mendapat sokongan daripada pasukannya dan melihat pertandingan sebagai peluang untuk memperkenalkan dirinya dalam pasaran muzik China.
- Vanessa menegaskan pertandingan ini lebih kepada ruang perkembangan diri dan platform untuk menunjukkan kebolehannya menyanyi dalam bahasa Mandarin dengan baik.
Penyanyi Vanessa Reynauld mengakui dia berasa gentar pada awalnya apabila mengetahui Jaclyn Victor turut menyertai program pertandingan muzik Singer 2026 - Malaysia.
Menurut Vanessa, reputasi besar dimiliki Jaclyn sebagai penyanyi legenda membuatkan dia hampir menarik diri daripada pertandingan tersebut.
“Lepas tahu Jaclyn Victor akan sertai, sebenarnya saya rasa macam tak nak sertai.
“Sebab saya fikir, susahlah nak lawan dengan Jaclyn Victor kan? Dia sudah bergelar legenda dan kita tahu reputasi dia bagaimana, jadi saya takut” katanya.
Tambah Vanessa, perasaan takut itu bagaimanapun berjaya diatasi selepas mendapat sokongan daripada pasukannya.
“Tapi dengan pasukan saya yang pujuk-pujuk, saya sedar ini sebenarnya lebih daripada sekadar bertanding dengan Jaclyn Victor,” ujarnya.
Menurut penyanyi berusia 25 tahun itu, platform tersebut juga menjadi peluang terbaik untuk memperkenalkan dirinya dalam pasaran muzik China.
“Seluruh pertandingan ini adalah untuk membina nama saya dalam market China dan memperkenalkan diri saya sebagai seseorang yang boleh menyanyi dalam bahasa Mandarin dengan baik,” katanya.
Dalam masa sama, Vanessa mengakui setiap peserta pasti mahu memberikan yang terbaik sepanjang pertandingan berlangsung.
“Bila kita masuk pertandingan, takkanlah kita nak kalah kan?
“Kita pun ada reputasi yang tak nak rosakkan dalam apa cara sekalipun,” katanya.
Bagaimanapun, Vanessa melihat program tersebut lebih kepada ruang perkembangan diri berbanding persaingan semata-mata.
“Saya rasa ini lebih daripada sekadar pertandingan.
“Jadi saya ambil peluang ini sebagai satu platform untuk tunjukkan lagi yang saya boleh menyanyi dalam bahasa Mandarin dengan baik,” ujarnya.
Selain Vanessa Reynauld dan Jaclyn Victor, program Singer 2026 - Malaysia turut menampilkan Geraldine Gan, Uriah See, Nicole Lai dan Priscilla Abby sebagai peserta utama musim ini.