Sekilas
- McDonald’s Malaysia sambut ulang tahun ke-10 inisiatif Hari Guru dengan kempen penghargaan kepada guru di lebih 300 restoran seluruh negara sepanjang Mei.
- Kempen ini melibatkan ratusan sekolah dan ribuan pendidik, termasuk aktiviti komuniti dan sumbangan tunai untuk baik pulih bilik guru.
- Inisiatif ini sebahagian daripada Program Komuniti @ McDonald’s yang aktif menjalankan lebih 10,000 aktiviti setiap tahun untuk sokong masyarakat Malaysia.
Sempena sambutan Hari Guru yang diraikan pada 16 Mei ini, McDonald’s Malaysia meneruskan tradisi menghargai warga pendidik dengan meraikan ulang tahun ke-10 iaitu penganjuran inisiatif Hari Guru di seluruh negara.
Sebagai sebuah jenama yang dekat dengan komuniti, McDonald’s Malaysia mengiktiraf peranan penting guru dalam membentuk generasi masa depan serta menyumbang kepada pembangunan negara.
Penghargaan terhadap golongan pendidik terus menjadi antara fokus utama dalam usaha tanggungjawab sosial dan penglibatan komuniti syarikat.
Selaras dengan komitmen tersebut, McDonald’s Malaysia akan memanfaatkan lebih 300 restorannya di seluruh negara sebagai pusat komuniti bagi mendekati sekolah-sekolah berhampiran, sekali gus menjalinkan hubungan lebih erat dengan para guru menerusi pelbagai aktiviti penghargaan yang bermakna.
Kempen yang berlangsung sepanjang Mei itu dijangka melibatkan ratusan sekolah dan ribuan pendidik di seluruh negara.
Kempen itu sekali gus memperkukuhkan peranan McDonald’s Malaysia sebagai rakan komuniti yang bukan sahaja menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan, malah aktif menyokong masyarakat setempat.
Menurut Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Haji Azmir Jaafar, guru memainkan peranan besar dalam membentuk individu serta memperkukuhkan komuniti, dengan pengaruh yang melangkaui bilik darjah.
“Selama 10 tahun yang penuh bermakna, inisiatif Hari Guru kami berkembang menjadi satu usaha berskala nasional yang membolehkan kami mendekati sekolah secara terus dan menyampaikan penghargaan kepada golongan pendidik di tempat yang paling bermakna buat mereka.
“Kami percaya menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan insan penting ini terus dihargai dan diraikan,” katanya.
Kempen tahun ini dimulakan menerusi aktiviti komuniti di Pulau Pinang awal bulan ini sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
Inisiatif tersebut telah mencapai kemuncaknya menerusi sambutan utama yang berlangsung di restoran McDonald’s Titiwangsa Drive-Thru pada Isnin lalu.
Acara itu melibatkan para guru dari sekolah-sekolah berhampiran bagi meraikan dedikasi dan komitmen mereka dalam dunia pendidikan.
Sebagai tanda sokongan tambahan, McDonald’s Malaysia juga akan menyalurkan sumbangan tunai bagi membantu kerja-kerja baik pulih dan penambahbaikan kemudahan bilik guru di sekolah terlibat.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2017, inisiatif Hari Guru menjadi antara tunjang utama Program Komuniti @ McDonald’s yang melaksanakan lebih 10,000 aktiviti komuniti setiap tahun.
Daripada membantu keluarga yang memerlukan hinggalah menghargai barisan hadapan dan para pendidik, program tersebut mencerminkan komitmen berterusan McDonald’s Malaysia dalam membawa perubahan positif dan memberi impak nyata kepada kehidupan rakyat Malaysia.