Sekilas
- Ani Mayuni meluahkan kekecewaan apabila anaknya, Viviana, menerima kecaman netizen selepas persembahan di Talk To My Manager 2.
- Ani menjelaskan Viviana berjuang walaupun dalam keadaan kurang sihat dan menghargai semua kritikan yang diterima.
- Dia mengajak netizen untuk lebih memahami situasi peserta dan mendoakan yang terbaik sambil menikmati program secara positif.
Bintang Talk To My Manager 2 (TTMM2), Ani Mayuni meluahkan rasa kecewa apabila anaknya, Viviana menjadi sasaran kecaman netizen susulan persembahannya di pentas program tersebut.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Ani mengakui sukar untuk meluahkan perasaan melihat keadaan yang dilalui anaknya.
“Allahuakbar, tak tahu nak ekspres atau nak cakap apa.
“Dua minggu Via ‘struggle’ sebab kondisi dia sebenarnya tidak begitu sihat, tapi dia cuba untuk kuat. Dia cuba buat sehabis baik di pentas,” tulisnya.
Pada masa sama, Ani tetap berterima kasih kepada semua pihak termasuk yang memberikan kritikan, namun berharap agar orang ramai lebih memahami situasi sebenar yang dihadapi peserta.
“Apa pun terima kasih kepada kalian yang menghentam, mengeji atau sebaliknya. Letakkan diri kalian sebagai seorang ibu, ayah, adik, abang atau kakak. Kita cuba untuk jadi sempurna, tapi kita hanya manusia biasa,” ujarnya.
Ani turut memohon agar netizen mendoakan yang terbaik buat Viviana serta peserta lain, selain mengajak semua untuk menikmati program tersebut secara positif.
“Saya hanya minta netizen doakan yang baik-baik sahaja buat Viviana dan peserta-peserta lain… enjoy dan chill sahaja.
“Apa pun, Umi dan Viviana love kalian,” tambahnya.