Sekilas
- Kumpulan boyband popular era 90-an, X Factor, kembali aktif selepas 17 tahun dengan lagu terbaru berjudul Walu Walu.
- Ahli kumpulan menegaskan mereka tidak pernah bergaduh, cuma sibuk dengan keluarga dan kerjaya masing-masing sepanjang tempoh tidak aktif.
- X Factor mendapat kebenaran daripada KRU untuk terus menggunakan nama kumpulan dan lagu terbaru mereka sudah boleh didengar di semua platform penstriman.
Selepas 17 tahun tidak bergiat aktif, kumpulan boyband popular era 90-an, X Factor kembali membuat kemunculan dengan menampilkan lagu terbaharu mereka berjudul Walu Walu.
Dengan tagline X is Back!, kumpulan dianggotai Fendi, 49, Zack, 49, Jim, 44, Danny, 46, dan Shah, 48, menegaskan mereka tidak pernah berbalah biarpun tidak berhubung satu sama lain sepanjang tempoh tidak aktif.
“Kehilangan kami selama ini dari industri bukan sebab bergaduh, sebaliknya selepas masing-masing berkeluarga dan ada kerjaya perlahan-lahan kumpulan ini jadi senyap.
“Masing-masing terus buat hal sendiri dan sepanjang tempoh itu juga kami langsung tidak berhubung mahupun bertanya khabar.
“Tapi kumpulan X Factor tak pernah dibubarkan secara rasmi hanya bawa haluan sendiri,” kata Fendi kepada Gempak.
X Factor berkongsi perkara itu ketika majlis memperkenalkan single terbaru mereka berjudul Walu Walu, di Urbanhive @ Putrajaya, baru-baru ini.
Sementara itu Danny pula berkata, X Factor mendapat lampu hijau daripada KRU untuk terus memakai nama berkenaan.
“KRU masih membenarkan kami menggunakan nama X Factor, jika tidak kami dah tukar nama kumpulan ini.
“Kami juga ada undang anggota KRU tapi kami faham mereka pun sibuk, jadi tak dapat hadir,” katanya.
Lagu terbaharu mereka kini sudah boleh dinikmati di semua platform penstriman.