Sekilas
- Saluran YouTube Wafa TV yang menjadi platform untuk berkongsi kisah artis veteran telah digantung, mengejutkan ramai termasuk Datuk Sarimah Ahmad dan artis veteran lain.
- Pengasas Wafa TV, Syed Wafa, menegaskan saluran itu sentiasa mematuhi garis panduan dan berusaha menghargai serta mendokumentasikan perjalanan seni artis veteran sejak 2017.
- Wafa kini sedang berusaha mendapatkan bantuan untuk mengembalikan saluran tersebut dan telah menghubungi Menteri Komunikasi bagi menyelesaikan isu ini.
Kehilangan platform yang selama ini menjadi ruang untuk menghimpunkan kisah dan kenangan seniman serta seniwati veteran mengejutkan ramai pihak apabila saluran YouTube Wafa TV dilaporkan digantung baru-baru ini.
Perkembangan itu turut mendapat perhatian Primadona filem Melayu, Datuk Sarimah Ahmad yang mengakui terkejut apabila dimaklumkan mengenai nasib saluran berkenaan.
Menurut Sarimah, sepanjang mengenali pengasas Wafa TV, Syed Wafa, beliau tidak pernah melihat individu itu menghasilkan kandungan yang bertentangan dengan prinsip saluran tersebut.
“Wafa TV dah tiada lagi? Wafa TV sudah hilang daripada radar angkara sifat hasad dengki manusia.
“Walaupun saya sudah lama mengenali Wafa, tetapi bagi saya beliau bukanlah orang yang sanggup buat benda-benda yang tidak sepatutnya.
“Sebab itu apabila pertama kali beliau mahu menemuramah saya untuk Wafa TV, saya tidak menolak kerana saya tahu beliau melakukan kerja ini dengan ikhlas selain mencari rezeki dan membantu artis-artis veteran,” katanya.

Tambah Sarimah, beliau amat menghargai usaha Wafa yang selama ini memberi ruang kepada penggiat seni lama untuk terus berkongsi pengalaman dan sejarah perjalanan seni mereka.
“Sejak mengenali Wafa dan Wafa TV, tidak pernah sekali pun beliau memaparkan kandungan berunsur negatif seperti yang didakwa.
“Malah sebagai seniwati Studio Jalan Ampas, saya amat menghargai usahanya dan berharap mereka yang melakukan perkara tidak bertanggungjawab itu diberikan petunjuk,” ujarnya.
Bukan Sarimah sahaja, malah beberapa artis veteran lain turut meluahkan rasa sedih dengan apa yang berlaku.
Penyanyi veteran, Zaiton Sameon menyifatkan tindakan yang menimpa Wafa TV sebagai sesuatu yang mengecewakan.
“Kejam mereka yang lakukan kepada YouTube Wafa TV dan saya amat berharap ada pihak yang dapat membantu mengembalikan semula siaran Wafa TV,” katanya.

Sementara itu, Syed Wafa berkata, sejak saluran tersebut diwujudkan pada 2017, matlamat utamanya adalah untuk menghargai dan mendokumentasikan perjalanan seni artis-artis veteran tempatan.
“Sembilan tahun lalu apabila pertama kali Wafa TV bersiaran, matlamat saya adalah untuk menghargai artis veteran dengan berkongsi perkembangan dan kisah mereka kepada generasi hari ini.
“Ramai artis yang pernah saya temubual termasuk Allahyarham Datuk M. Daud Kilau, Allahyarham M. Sani, M. Rizal, Yusof Wahab dan ramai lagi,” katanya.
Wafa mengakui terkejut apabila dimaklumkan salurannya digantung atas dakwaan melibatkan kandungan yang melanggar garis panduan platform.
“Saya sentiasa berpegang kepada prinsip untuk tidak menyiarkan unsur-unsur negatif dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Walaupun kecewa, saya percaya kebenaran akan berpihak kepada saya. Kini saya sedang berusaha mengembalikan semula Wafa TV demi meneruskan perjuangan menghargai seniman dan seniwati veteran,” katanya.

Menurut Wafa, sepanjang lebih sembilan tahun beroperasi, Wafa TV telah menerbitkan lebih 1,400 video, meraih lebih 19 juta tontonan serta mempunyai sekitar 73,000 pelanggan.
Dalam masa sama, beliau turut berharap pihak berkaitan dapat membantu menyelesaikan isu tersebut termasuk mengembalikan semula saluran berkenaan yang disifatkannya sebagai arkib penting buat sejarah seni tanah air.
“Saya juga telah menghubungi Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil untuk memohon bantuan. Saya amat berharap ada jalan penyelesaian yang dapat mengembalikan semula Wafa TV,” katanya.