Sekilas
- Aina Abdul menafikan dakwaan tidak memberikan usaha sepenuhnya dalam promosi lagu terbaharunya, sebaliknya mengakui pendekatan lama mungkin sudah tidak relevan.
- Dia kini lebih fokus kepada cara promosi organik yang lebih dekat dan relatable dengan peminat melalui media sosial.
- Aina mencadangkan sidang media tradisional digantikan dengan acara santai seperti hangout atau cinema party untuk beri nafas baharu dalam industri hiburan.
Penyanyi dan komposer, Aina Abdul menafikan dirinya tidak memberikan usaha sepenuhnya dalam mempromosikan lagu-lagu terbaharunya.
Bagaimanapun, Aina atau nama lengkapnya, Nurul Aina Abdul Ghani mengakui pendekatan promosi yang digunakan sebelum ini mungkin sudah tidak lagi sesuai dengan trend semasa.
“Sebenarnya saya rasa salah untuk cakap Aina tak all out. Cuma mungkin usaha saya sebelum ini masih menggunakan cara-cara lama.
“Mungkin pendekatan saya sebelum ini tidak lagi up to date. Sekarang saya lebih kepada benda yang organik, terus bercakap dengan peminat dan buat perkara yang mereka rasa lebih relatable,” katanya kepada Gempak.
Pelantun lagu Berjauhan itu turut berkongsi pandangannya mengenai budaya sidang media atau press conference (PC) dalam industri hiburan yang menurutnya perlu diberikan nafas baharu agar lebih santai dan mesra peminat.
“Kalau tanya saya, sebenarnya PC itu adalah cara yang semua orang fikir perlu dibuat. Tapi cabaran saya sekarang adalah untuk rebrand perkataan PC itu sendiri.
“Mungkin kita masih boleh berjumpa, tapi bukan secara formal seperti sidang media. Mungkin dalam bentuk hangout, cinema party atau perkara-perkara macam itu,” jelasnya.
Tambah Aina, tidak semua pelancaran lagu memerlukan sidang media besar kerana kos dan komitmen yang terlibat juga agak tinggi.
“Tak semestinya bila keluar single, satu single kena buat PC. Ramai juga cakap bila buat PC ni bajet pun besar sebab kena lock venue, ikut timing media dan macam-macam lagi.
“Bagi saya tiada cara yang betul atau salah. Tapi dalam dunia sekarang, semuanya di media sosial. Kita kena nampakkan diri kita lebih lagi,” katanya lagi.