Sekilas
- Rashidi Ishak menegur pelakon yang meminta bayaran terlalu tinggi untuk drama tempatan tanpa mengambil kira kos penerbitan sebenar.
- Beliau menegaskan bayaran melampau hanya sesuai untuk produksi antarabangsa seperti HBO atau Cinemax, bukan stesen TV tempatan seperti RTM, TV3, dan Astro.
- Rashidi menjelaskan ada pelakon yang tuntut bayaran sehingga 20% daripada kos keseluruhan produksi, yang boleh menjejaskan kelancaran penerbitan.
Pelakon, Rashidi Ishak menegur segelintir pelakon yang didakwa meletakkan bayaran terlalu tinggi untuk drama tempatan tanpa mempertimbangkan realiti kos penerbitan.
Menerusi perkongsian di Threads, Rashidi berkata ada pelakon yang meminta bayaran tidak masuk akal sehingga menyulitkan pihak produksi.

“Pelakon-pelakon yang nak minta harga tinggi-tinggi untuk drama tempatan ni, boleh tak check dulu harga penerbitan pasaran. Janganlah perasan sangat,” katanya.
Jelasnya, permintaan bayaran melampau hanya sesuai untuk produksi besar antarabangsa, bukan drama arus perdana tempatan.
“Kalau stesen TV tu HBO ke, Cinemax ke, boleh lah demand harga tinggi.
“Kalau takat drama penerbitan untuk RTM, TV3 dan Astro, tahu tak berapa stesen bayar kepada penerbit?” ujarnya.
Menurut Rashidi, ada tuntutan bayaran yang hampir menelan sehingga 20 peratus kos keseluruhan produksi, sekali gus menjejaskan kelancaran sesebuah penerbitan.
“Kalau nak bayar awak sorang je dah sampai 20% dari kos penerbitan, mana logik dia dik?” katanya lagi.