Sekilas
- PU Riz lancarkan Quranik Madani, kelas pengajian al-Quran percuma untuk semua umat Islam di Malaysia tanpa mengira usia.
- Program ini fokus kepada pembelajaran dan pemahaman al-Quran, termasuk hafazan awal untuk kanak-kanak serta pensijilan profesional untuk asatizah.
- Quranik Madani akan bergerak ke pelbagai kawasan mengikut keperluan komuniti bagi memudahkan akses dan menghidupkan budaya membaca al-Quran.
Isu asas seperti membaca al-Quran dengan baik masih menjadi cabaran bagi sebahagian masyarakat, bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak, malah orang dewasa.
Melihat realiti itu, PU Riz tampil dengan satu inisiatif berskala besar yang lebih dekat dengan masyarakat menerusi program Quranik Madani, iaitu kelas pengajian al-Quran percuma yang terbuka kepada umat Islam di seluruh negara.
Menurutnya, usaha ini bukan sekadar program biasa, tetapi satu langkah untuk menghidupkan kembali budaya membaca dan memahami al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Tidak ada seorang pun dalam kalangan umat Islam di Malaysia yang tidak menyukai kebaikan ini. Sebaik-baik manusia, kata Nabi SAW, adalah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya. Jadi hari ini, kita mulakan satu inisiatif untuk menghidupkan kembali budaya membaca dan memahami al-Quran,” katanya.
Apa yang membezakan Quranik Madani adalah pendekatannya yang lebih inklusif. Program ini bukan hanya tertumpu kepada kanak-kanak, tetapi turut membuka ruang kepada golongan dewasa yang mungkin selama ini tidak mempunyai masa atau akses untuk belajar.
Dalam masa sama, tumpuan turut diberikan kepada generasi muda menerusi program hafazan awal yang dikenali sebagai Salat Satizah Quranik Madani, melibatkan kanak-kanak seawal usia tiga hingga sembilan tahun.
Pendekatan ini dilihat penting bagi membina asas yang kukuh sejak kecil, bukan sahaja dari segi bacaan, tetapi juga pemahaman terhadap al-Quran.
Selain pelajar, program ini turut memberi perhatian kepada tenaga pengajar apabila membuka peluang kepada golongan asatizah untuk meningkatkan tahap profesionalisme melalui pensijilan khas.
“Kita juga memperkenalkan pensijilan profesional kepada ustaz-ustaz yang ingin bersama-sama dengan kita. Dengan pengiktirafan ini, mereka bukan sahaja boleh mengajar di peringkat komuniti seperti kampung dan masjid, tetapi berpeluang melangkah ke peringkat global, insyaAllah, dengan adanya pengiktirafan MQA,” jelasnya.
Lebih menarik, program ini tidak terhad kepada satu lokasi sahaja. Ia akan digerakkan secara turun padang ke pelbagai kawasan mengikut keperluan komuniti.
“Bagi mereka yang nak sertai, atau mana-mana kawasan yang nak kami datang, insya-Allah kita akan pergi dan bawakan pengajian ini secara percuma. Ini adalah usaha bersama untuk mengangkat martabat al-Quran dalam kehidupan kita.
“Ingat, sesiapa yang mengangkat al-Quran, Allah SWT akan memuliakan dia di dunia dan juga di akhirat,” katanya.
Dengan pendekatan yang lebih terbuka dan menyeluruh, Quranik Madani dilihat sebagai satu usaha untuk memastikan tiada lagi alasan bagi sesiapa yang ingin belajar al-Quran, tanpa mengira usia atau latar belakang.