Sekilas
- Datin Lisa Surihani berkongsi impiannya menunaikan ibadah haji pada usia 40 tahun yang dimakbulkan selepas membuat rayuan pada hujung tahun lalu.
- Pengalaman mengerjakan umrah pada Ramadan 2022 memberi inspirasi kepada Lisa untuk berdoa agar dapat menunaikan haji bersama suami, Datuk Yusry Abdul Halim.
- Walaupun suaminya tidak dapat menemani kerana visa tidak diluluskan, Lisa berharap dapat menunaikan haji bersama Yusry pada masa hadapan.
Pelakon, Datin Lisa Surihani berkongsi kisah bagaimana impiannya untuk menunaikan ibadah haji pada usia 40 tahun akhirnya dimakbulkan Allah.
Menurut Lisa, detik itu bermula ketika dia mengerjakan umrah bersama suaminya, Datuk Yusry Abdul Halim dan beberapa rakan pada Ramadan tahun 2022.
Katanya, pengalaman melihat suasana Masjidil Haram yang padat dengan jemaah ketika itu membuatkan dia mula membayangkan bagaimana suasana ibadah haji yang sebenar.
“Pada tahun 2022 kalau tak silap , saya ada mengerjakan umrah bersama dengan abang dan juga beberapa teman yang lain pada bulan Ramadan.
“Walaupun pada ketika itu belum lagi 10 malam terakhir tapi agak padat di sana, kira masih ramai orang dan daripada situ kita macam dapat bayangan macam inilah jika kita mengerjakan ibadah haji dan terdetiklah untuk saya nak berdoa dan memohon doa agar saya dapat mengerjakan ibadah haji pada usia saya 40 tahun.
“Masa itu sebenarnya hari jadi saya pada bulan ramadan, dan saya juga belajar surah Al-Ahnaf, sebab saya rasa ia menjadi satu inspirasi sebab Rasulullah pun dapat wahyu masa umur 40. Jadi sedikit sebanyak ia mempengaruhi doa saya dan saya memohon agar saya dapat mengerjakan haji pada umur 40 bersama suami,” katanya kepada Gempak.
Berkongsi lanjut, Lisa berkata dia turut membuat rayuan pada penghujung tahun lalu dan bersyukur apabila permohonannya diluluskan selepas melalui beberapa proses yang ditetapkan.
“Pada hujung tahun lepas saya buat rayuan dan alhamdulillah mendapat kelulusan. Rayuan ini ada beberapa peringkat dan prosedur yang perlu dilalui. Setiap peringkat perlu mendapat kelulusan sebelum boleh diteruskan.
“Jadi apabila rayuan pertama saya berjaya diluluskan, saya memang sangat bersyukur,” ujarnya.
Bagaimanapun, Lisa mengakui dia sedikit terkilan apabila Yusry tidak dapat menemaninya menunaikan ibadah haji pada tahun ini selepas rayuan visa suaminya tidak berjaya.
Meskipun begitu, Lisa tidak pernah putus berdoa agar diberikan peluang sekali lagi untuk menjadi tetamu Allah pada masa hadapan, kali ini bersama suami tercinta.
“Cuma kita hanya mampu merancang, Allah yang menentukan. Abang tidak dapat bersama saya kali ini untuk menunaikan haji. Tapi insyaAllah saya banyak berdoa, saya berharap ini bukan haji terakhir saya.
"InsyaAllah jika diberi peluang lagi, saya berharap dapat kembali menunaikan haji bersama suami pula nanti,” katanya lagi.