Sekilas
- Hou Xiang, pelakon China berusia 40 tahun, sering disalah anggap sebagai anak kepada isterinya kerana penampilannya yang sangat muda.
- Dia dilahirkan pramatang dan mengalami masalah perkembangan fizikal sejak kecil, menyebabkan wajah dan tubuhnya kekal seperti kanak-kanak.
- Walaupun terhad pada watak remaja atau kanak-kanak, Xiang terus komited dalam bidang lakonan dan dikenali melalui drama popular seperti Home with Kids.
Seorang pelakon dari China menjadi perhatian di media sosial gara-gara penampilannya yang jauh lebih muda daripada usia sebenar.
Disebabkan itu juga, Hou Xiang, 40, sering disalah anggap sebagai anak kepada isterinya sendiri.
Bagaimanapun, Xiang mengakui dia sudah lama terbiasa dengan tanggapan sedemikian dan tidak lagi mengambil hati terhadap komen orang ramai.
Menurut laporan media tempatan, Xiang dilahirkan secara pramatang akibat ibunya mengalami masalah kekurangan zat makanan ketika hamil.
Keadaan itu menyebabkan fizikalnya lebih kecil berbanding rakan sebaya sejak kecil.
Perkembangan fizikalnya juga dikatakan terhenti ketika berusia sekitar sembilan tahun, menyebabkan wajah dan tubuh badannya kekal seperti kanak-kanak walaupun meningkat dewasa.
Dengan sokongan keluarga, Xiang memilih bidang lakonan sebagai kerjaya.
Namanya mula dikenali ramai pada tahun 2005 selepas membintangi drama komedi situasi popular, Home with Kids, ketika usianya 19 tahun.
Selepas itu, dia terus membina nama menerusi beberapa drama terkenal termasuk Stepfather, Chuang Guandong dan Tunnel Warfare, yang kebanyakannya memerlukan dia membawa watak remaja atau kanak-kanak.
Xiang berkata, penampilan serta suaranya yang kedengaran kebudak-budakan sedikit sebanyak mengehadkan pilihan watak yang boleh dilakonkan.
Namun, dia tetap komited untuk memberikan persembahan terbaik dalam setiap naskhah.
Sumber: Sinar Harian