Sekilas
- Sharonjit Kaur Walia, anak sulung wartawan Karam Singh Walia, meninggal dunia dalam tidur di rumahnya di Sikamat, Seremban selepas 38 hari bapanya meninggal dunia akibat barah hati.
- Beliau merupakan Pensyarah Kanan Bahasa Inggeris di Politeknik Port Dickson yang dikenali sebagai pendidik berdedikasi dan inspirasi kepada pelajar.
- Politeknik Port Dickson mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan menghargai jasa serta dedikasi Sharonjit sepanjang berkhidmat.
Belum reda kesedihan keluarga Karam Singh Walia atas pemergian wartawan penyiaran terkenal itu, mereka sekali lagi diuji apabila anak sulungnya dilaporkan meninggal dunia pada Rabu.
Mendiang Sharonjit Kaur Walia, 44, menghembuskan nafas terakhir kira-kira 38 hari selepas bapanya meninggal dunia akibat barah hati pada 6 April lalu.
Menurut suaminya, Kashminder Singh Sandhu, Sharonjit meninggal dunia dalam tidur di kediaman mereka di Sikamat, Seremban sekitar jam 8.15 pagi.
“Beliau meninggal dunia dalam tidur dan sebelum ini tidak mengalami sebarang masalah kesihatan,” katanya memetik laporan Bernama.

Sharonjit merupakan Pensyarah Kanan Bahasa Inggeris di Jabatan Pengajian Am, Politeknik Port Dickson dan dikenali sebagai seorang pendidik yang berdedikasi serta dekat dengan pelajar.
“Beliau bukan sahaja mendidik, malah menjadi inspirasi kepada pelajar, sekali gus meninggalkan legasi yang akan terus hidup dalam diri mereka yang pernah dibimbing,” katanya lagi.
Allahyarham meninggalkan suami serta dua cahaya mata berusia 10 dan enam tahun.
Dalam masa sama, Politeknik Port Dickson turut menzahirkan ucapan takziah menerusi media sosial rasmi institusi itu dan menyifatkan pemergian Sharonjit sebagai satu kehilangan besar buat warga kampus.
“Seluruh warga institusi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang atas kehilangan yang amat perit ini.
“Jasa, dedikasi dan kenangan bersama beliau akan sentiasa terpahat dalam ingatan,” menurut kenyataan tersebut.