Penyanyi, Nabila Razali mengambil maklum setiap teguran yang diberikan oleh netizen berhubung penampilannya yang dilihat semakin berbeza apabila tampil mengenakan tudung singkat dan baju sedikit jarang sejak kebelakangan ini.
Menurut Nabila atau nama lengkapnya, Nur Nabila Mohd Razali,34, perubahan fesyen tersebut adalah untuk menyesuaikan dengan konsep muzik yang dibawanya.
“Saya agak berhati-hati menjawab soalan ini kerana apa jua kenyataan saya takut disalah tafsir.
“Tapi untuk saya sendiri sebagai anak seni, saya sentiasa berkarya dari segi muzik, fesyen dan penampilan mengikut lagu-lagu yang saya keluarkan. Kali ini saya ikut konsep retro sedikit kerana lagu raya saya ada ‘vibe’ retro.
“Jadi saya ikut konsep muzik, tapi tidak bermaksud saya mengetepikan perkara yang salah,” katanya kepada Gempak.
Nabila juga berkongsi setiap penampilan yang dipilih akan melalui perbincangan bersama pasukannya terlebih dahulu bagi memastikan ia sesuai dengan imej yang ingin diketengahkan.
Tambah Nabila, dia juga mempunyai rujukan tersendiri sebelum sesuatu konsep diputuskan.
“Sudah tentu saya ada rujukan tersendiri setiap kali saya mahu tampil dengan sesuatu penampilan. Satu pasukan akan menilai sama ada ia sesuai untuk saya ataupun tidak.
“Alhamdulillah semuanya saya suka dan ia kena dengan gaya lagu. Malah penari saya pun sedondon. Kami pilih penampilan itu disebabkan konsep muzik tersebut,” ujarnya.
Dalam masa sama, Nabila mengakui dirinya masih dalam proses memperbaiki diri dan berharap dapat terus menampilkan sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang.
“Saya hanya manusia biasa dan masih mencuba untuk memperbaiki diri. Insya-Allah pada masa akan datang saya akan perbaiki lagi.
“Tapi buat masa sekarang nikmati sahaja lagu Tak Sabar Nak Raya. Selepas ini akan ada lagu baharu dan penampilan baharu pula,” ujarnya.