Sekilas
- Asma’ Harun berkongsi kenangan dan pandangan peribadi mengenai pemergian seniman Jalil Hamid yang meninggalkan kesan mendalam melalui karya-karyanya.
- Lagu-lagu arwah seperti 'Ayam' dan 'Raya' mengandungi mesej tersirat dan sindiran halus yang dekat dengan kehidupan seharian serta memberi pengajaran.
- Beliau memuji keunikan dan sumbangan Jalil Hamid dalam industri seni yang kekal relevan lebih empat dekad serta mendoakan agar arwah ditempatkan dalam kalangan hamba yang soleh.
Pendakwah bebas Asma’ Harun berkongsi pandangan peribadinya selepas pemergian seniman tanah air Jalil Hamid yang disifatkan banyak menyentuh hati melalui karya-karyanya.
Menerusi Threads, beliau mengimbau kembali momen bersama keluarga ketika mendengar lagu-lagu arwah dalam suasana santai di dalam kereta.
“Baru je minggu lepas beliau menghiburkan kami sekeluarga dan berikan satu momen yang bermakna. Semalam bila dapat berita pemergian almarhum, saya terus rasa satu kehilangan,” tulisnya.
Menurutnya, lagu 'Ayam' yang dinyanyikan arwah bukan sekadar hiburan ringan, sebaliknya mengandungi mesej tersirat yang boleh dijadikan pengajaran.
“Saya terus rasa bahawa lagu ini bijak, dibawa dengan sangat santai tapi ada mesej yang tersirat.
“Bila sampai lirik ‘hangat-hangat tahi ayam’, saya ambil peluang jelaskan kepada anak-anak tentang maksud tersirat berkait sikap yang tidak konsisten, semangat hanya di awal tetapi tidak bertahan,” jelasnya.

Tambah beliau, karya arwah sering membawa sindiran halus yang dekat dengan kehidupan seharian, termasuk dalam lagu lain seperti 'Raya'.
“Bila diamati, ada banyak nasihat dalam bentuk sindiran dalam lagu ini… nampak biasa, tetapi ada makna, menghiburkan tetapi ada pengajaran,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut memuji keperibadian dan sumbangan arwah yang mampu kekal relevan sepanjang lebih empat dekad dalam industri seni.
“Dalam lakonan, kita tahu beliau membawa watak dengan gaya tersendiri, ada jiwa, ada identiti dan tidak boleh diganti.
“Bukan semua pelakon mampu bertahan puluhan tahun dalam industri, tetapi beliau terus memberi sumbangan kepada dunia seni tanah air dengan begitu banyak pengajaran melalui wataknya,” ujarnya.
Mengakhiri perkongsian, beliau mendoakan agar arwah diberikan keampunan dan ditempatkan dalam kalangan hamba yang soleh, selain mengingatkan bahawa setiap individu akan meninggalkan kesan dalam kehidupan orang lain.
“Tanpa sedar, melalui suara, watak dan karyanya yang nampak sederhana, beliau telah menghiburkan dan menyentuh hati begitu ramai manusia dalam pelbagai fasa kehidupan,” kongsinya.