Sekilas
- Seorang lelaki berstatus suami orang ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan seorang wanita di sebuah homestay di Johor pada pagi Isnin.
- Pemeriksaan dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor selepas menemui bilik berkunci yang didiami pasangan tersebut, yang bukan suami isteri dan tiada hubungan mahram.
- Lelaki berusia 45 tahun itu merupakan kakitangan kerajaan manakala wanita 56 tahun berstatus janda, dan kes disiasat di bawah Seksyen 27 untuk tindakan di Mahkamah Syariah.
Seorang lelaki berstatus suami orang ditahan kerana disyaki berkhalwat bersama seorang wanita dalam pemeriksaan yang dijalankan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah homestay, di sini, pada jam 8.30 pagi, Isnin.
Pemeriksaan rambang itu dilakukan susulan arahan bagi memastikan premis penginapan tidak disalahgunakan.
Menurut maklumat, penguat kuasa telah memeriksa beberapa bilik di premis berkenaan sebelum menemui sebuah bilik yang berkunci dan tidak dibuka walaupun diketuk.
Selepas kira-kira 10 minit, seorang lelaki bertindak melarikan diri melalui tingkap bilik air, namun berjaya ditahan oleh penguat kuasa yang berada di bahagian belakang premis.
Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita berada di dalam bilik tersebut dalam keadaan lampu tertutup.
Hasil siasatan awal mendapati pasangan itu bukan suami isteri dan juga tidak mempunyai hubungan mahram.
Lelaki berusia 45 tahun itu merupakan kakitangan kerajaan, manakala wanita berusia 56 tahun berstatus janda dan bekerja sendiri.
Difahamkan, bilik berkenaan disewa oleh lelaki tersebut dan kedua-duanya dipercayai telah lama mengenali antara satu sama lain.
Pemilik homestay memaklumkan bahawa bilik itu disewa oleh lelaki terbabit dan beliau tidak mengetahui kehadiran wanita berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 27 dan pasangan tersebut akan didakwa di Mahkamah Syariah.