Sekilas
- Bront Palarae mengalami kecederaan pada kotak suara semasa penggambaran filem Tarung: Unforgiven walaupun tiada babak pertempuran fizikal.
- Bront perlu berehat beberapa jam sebelum meneruskan penggambaran akibat kecederaan tersebut yang berlaku ketika beraksi bersama Zul Ariffin.
- Filem arahan Razaisyam Rasyid ini menampilkan gabungan pelakon hebat seperti Bront, Zul Ariffin, dan Aedy Ashraf, dan akan ditayangkan mulai 7 Mei ini.
Terlibat dalam filem Tarung: Unforgiven tanpa satu pun babak pertempuran bukan alasan yang menyebabkan Bront Palarae berada dalam ‘zon selamat’, terutama daripada kecederaan.
Saat takdir berkata lain, maka Bront pun perlu menerima pil pahit ; mengalami kecederaan yang tidak disangka.
Aktor hebat ini memberitahu mengalami kecederaan pada bahagian kotak suara yang menyebabkan beliau perlu berehat untuk beberapa jam sebelum menyambung semula penggambaran filem arahan Razaisyam Rasyid yang bakal berada di pawagam bermula 7 Mei ini.
“Pelakon lain cedera fizikal tapi saya alami kecederaan pada kotak suara,” dedah Bront sambil ketawa sewaktu sidang media yang diadakan usai malam gala filem tersebut baru-baru ini.
Dalam nada berseloroh, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem seram, The Cursed Land, di Anugerah Baannang Klang Lakorn ke-21 di Thailand, tahun lalu itu memberitahu mengalami kecederaan kotak suara kerana ‘bertarung’ aksi dengan lawan mainnya, Zul Ariffin.
Menerusi filem ini, Bront membawa karakter Khalid sementara Zul Ariffin sebagai Badrul. Mereka merupakan ketua atau digelar ayanda demi mempertahankan Marga.
“Saya perlu ‘match’ dengan Zul Ariffin yang mempunyai lontaran suara seperti yang kita tahu. Kami tidak terlibat dalam babak aksi, berlawan, hanya bercakap, tapi itulah, dengan Zul Ariffin, cedera suara saya,” katanya lagi.
Sementara itu, bagi Razaisyam ‘pengorbanan’ yang dilakukan Bront berbaloi buatnya kerana meski telah bersahabat selama 10 tahun, ini merupakan naskhah pertama beliau mengarahkan aktor berkaliber itu.
Hasratnya untuk mendapatkan khidmat cemerlang Zul Ariffin dalam naskhah arahannya dan bergabung dengan Bront juga tercapai menerusi Tarung: Unforgiven.
“Kami telah lama bersahabat dan saya kata jika kali ini beliau ‘reject’ saya, hubungan kami putus,” kata Razaisyam sambil ketawa sebelum menyambung: “Jadi saya dapatkan Bront dan Aedy bantu dapatkan Zul, bergabung dalam Tarung: Unforgiven adalah macam ‘dream titans.”
Selain Bront dan Zul, filem Tarung: Unforgiven turut dibintangi barisan pelakon hebat termasuk Aedy Ashraf, Amir Ahnaf, Mierul Aiman, Sharifah Sakinah, Azira Syafinaz.
Barisan pelakon TARUNG: Unforgiven akan menemui peminat menerusi siri jelajah bermula 8 Mei.
Jelajah ini akan merangkumi lokasi-lokasi terpilih di Lembah Klang pada 9 dan 10 Mei, 15, 16, 17 Mei di Selatan, 22, 23, 24 Mei di Utara serta 29, 30, 31 Mei di Pantai Timur.
Karya ini turut memperlihatkan kolaborasi bersama Kunafa Aiwahhh sebagai Rakan Kunafa Rasmi dengan memperkenalkan edisi terhad Kunafa Tarung.
Diilhamkan daripada semangat pertarungan, edisi khas ini menggabungkan kunafa rangup bersama lapisan keju leleh dan sambal daging pedas.
Tidak ketinggalan, jenama Nuhae selaku Rakan Kesejahteraan Rasmi yang membantu memperluaskan capaian kepada penonton sasaran melalui pelaksanaan kempen video komersial.
Saksikan filem TARUNG: Unforgiven yang bakal ditayangkan di 148 buah pawagam bermula 7 Mei 2026.
Sinopsis:
Hatta (Mierul Aiman) merupakan seorang bekas juara silat, diburu dosa silam selepas berlakunya satu tragedi.
Namun, demi menyelamatkan kakaknya, dia menerima tawaran daripada Paduka Badrul (Zul Ariffin) untuk ke gelanggang haram.
Hatta tidak menyedari lawan yang menanti ialah Isa (Aedy Ashraf), sahabat lama yang kini menjadi musuh akibat dendam.