Skip to main content

Viral

"Nak Lahirkan Lebih Ramai Content Creator Berjaya, Bukan Sekadar Viral" - Datuk Abd Rahman Soltan

Astro Gempak soltan

Sekilas

  • Peningkatan pencipta kandungan digital di Malaysia membuka peluang kepada generasi muda untuk jana pendapatan dan bina kerjaya dalam industri kreatif.
  • Dato' Abd Rahman Soltan menekankan pentingnya influencer dan content creator bukan sekadar popular, tetapi juga mampu hasilkan pendapatan stabil dan masa depan terjamin.
  • Pelbagai projek mini siri dan filem dirancang untuk bantu bakat tempatan berkembang ke bidang hiburan lebih luas selain media sosial.

Peningkatan jumlah pencipta kandungan digital di Malaysia membuka peluang baharu kepada generasi muda untuk menjana pendapatan dan membina kerjaya dalam industri kreatif.

Menyedari potensi besar tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Asia, Dato' Abd Rahman Soltan mahu melihat lebih ramai influencer dan pencipta kandungan tempatan berkembang menjadi bakat yang mampu mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang.

Menurutnya, fokus utama yang sedang digerakkan ketika ini bukan sekadar melahirkan individu yang popular di media sosial, sebaliknya membantu mereka membina sumber pendapatan yang lebih stabil dan masa depan yang lebih terjamin.

"Tahun ini antara fokus utama kami adalah untuk membentuk lebih ramai influencer dan content creator yang bukan sekadar mengejar populariti, tetapi mampu menjadikan platform mereka sebagai sumber pendapatan dan masa depan yang lebih baik.

"Melalui program IPP, kita mahu membantu generasi muda memahami bagaimana mereka boleh menggunakan pengaruh yang ada untuk menambah pendapatan dan membina kehidupan yang lebih stabil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang dihadiri hampir 100 pempengaruh baru-baru ini.

Mengulas mengenai tema sambutan yang diinspirasikan daripada legenda muzik dunia, Michael Jackson, Abd Rahman berkata figura tersebut dipilih kerana legasi besar yang masih kekal relevan sehingga hari ini.

"Michael Jackson bagi saya ialah simbol legasi dan juga satu figura yang masih meninggalkan tanda tanya besar kepada dunia.

"Walaupun sudah lama tiada, generasi muda masih mengenali lagu dan karya beliau. Itu menunjukkan bahawa hasil kerja yang memberi impak akan terus hidup merentas generasi," katanya.

Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi Agy serta trio pempengaruh popular Imranul Effendy, Izlann Iskandar dan Boi Baek. Turut hadir ialah beberapa pempengaruh lain termasuk Puteri Sari, Reyzal Yazmi dan Puspagomen.

Menurut Abd Rahman, media sosial kini menjadi platform permulaan kepada ramai anak muda sebelum mereka mengembangkan kerjaya ke peringkat lebih tinggi.

"Kebanyakan anak muda hari ini bermula dengan media sosial untuk membina nama, tetapi akhirnya mereka boleh berkembang kepada pelbagai bidang lain.

"Populariti yang diperoleh boleh dijadikan asas untuk membina perniagaan sendiri, menghasilkan jenama produk, melakukan ulasan secara profesional atau membuka peluang pekerjaan yang lebih baik," ujarnya.

Beliau berkata kejayaan beberapa bakat yang pernah dibimbing seperti Imranul Effendy dan Harissa Adlynn membuktikan bahawa platform digital mampu menjadi batu loncatan kepada peluang yang lebih besar.

"Kita sudah melihat sendiri bagaimana ada yang bermula sebagai content creator dan akhirnya berjaya melangkah ke bidang lebih besar termasuk lakonan dan filem," katanya.

Dalam perkembangan sama, Abd Rahman memaklumkan pihaknya sedang merancang penerbitan beberapa projek mini siri dan filem yang bakal mengetengahkan bakat influencer tempatan.

Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu bakat muda berkembang di luar media sosial dan membina kerjaya yang lebih mampan dalam industri hiburan.

"Kami mahu menghasilkan lebih banyak projek yang membuka ruang kepada influencer untuk berkembang sebagai pelakon dan bakat kreatif.

"Matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan lebih ramai bakat muda yang bukan sekadar dikenali di media sosial tetapi mampu mencipta kerjaya yang lebih besar dalam industri," katanya.

Anda mungkin berminat dengan

Nike Men's Zoom Fly 6 Road Racing Shoes - Cannon [FN8454-003]

Nike Men's Zoom Fly 6 Road Racing Shoes - Cannon [FN8454-003]

INNISFREE Dewy Tint Lip Balm (3.2g)

INNISFREE Dewy Tint Lip Balm (3.2g)

Sea Makeup Stayput Setting Spray 100ml

Sea Makeup Stayput Setting Spray 100ml

7pcs High Waist Slimming Panties - Seamless Plus Size Underwear, Seluar Dalam Wanita

7pcs High Waist Slimming Panties - Seamless Plus Size Underwear, Seluar Dalam Wanita

adidas Football Spain 26 Away Jersey Men White JN4397

adidas Football Spain 26 Away Jersey Men White JN4397

adidas Football DFB GERMANY METAL BOTTLE Unisex White KF4127

adidas Football DFB GERMANY METAL BOTTLE Unisex White KF4127

Must Watch Video

Advertisement