Sekilas
- Pelakon Zul Ariffin mengakui soal jodoh masih belum menjadi keutamaan walaupun sudah berusia 40 tahun.
- Dia berharap dapat berkahwin dalam lingkungan usia 40-an tetapi belum fokus untuk mencari pasangan kerana kekangan masa.
- Zul juga menerima mesej peribadi daripada peminat, namun kebanyakannya hanya gurauan dan tidak serius.
Pelakon Zul Ariffin mengakui soal jodoh masih belum menjadi keutamaan buat dirinya meskipun kini sudah memasuki usia 40 tahun.
Menurut Zul, dia sendiri tidak mempunyai jawapan pasti namun berharap dapat mendirikan rumah tangga dalam lingkungan usia tersebut.
“Bila nak kahwin? Tak tahulah. Kita tak tahu pula.
“Mungkin dalam 40-an ni lah, tak adalah sampai 50-an,” katanya.
Ditanya sama ada dirinya terlalu memilih dalam soal pasangan, Zul menjelaskan kekangan masa menjadi antara faktor utama.
“Nak memilih perlukan masa. Masalahnya saya tak ada masa nak memilih, saya buat bodoh saja.
“Saya buat tak tahu saja, jadi hari berlalu macam tu saja. Lepas itu kita kerja, kerja, kerja.
“Kalau kita nak buat sesuatu, kita kena letak fokus. Jadi saya tak fokus ke situ lagi,” ujarnya.
Dalam masa sama, Zul turut mengakui menerima mesej peribadi (DM) daripada peminat, namun menyifatkan kebanyakannya sekadar gurauan.
“Orang DM memanglah ada. Peminat tak apalah. DM jodoh? DM saja… yang gatal banyaklah, mengarut-ngarut saja.
“Tapi tak ada apa pun. Bila saya baru keluar drama hari itu, kecohlah sekejap, semua sekejap saja,” katanya.