Sekilas
- Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella di Stadium Nasional Bukit Jalil mendapat pelbagai reaksi, terutama kekecewaan terhadap sistem bunyi yang dianggap kurang memuaskan oleh sebahagian peminat.
- Penulis menyeru agar peminat dan penganjur lebih beradab dalam memberi teguran serta menghormati usaha artis dan produksi demi memartabatkan industri hiburan Malaysia.
- Walaupun ada kekurangan teknikal, persembahan Ella dan kolaborasinya bersama artis lain tetap meninggalkan kesan positif dan menunjukkan kualiti seni yang tinggi.
Suka untuk saya mulakan artikel ini dengan buah pandangan dan teguran (jika ia mahu diambil) kepada seluruh penikmat hiburan, peminat muzik atau pengikut penyanyi di Malaysia.
Tolong, tolong dan tolong. Tolong hentikan budaya meluahkan perasaan dengan kata-kata yang tidak sepadan profil ‘hamba Allah’, ‘Ahli akademik’, ‘Mama Aydean’, ‘Pecinta kucing’ dan sewaktu dengannya — setiap kali kurang berpuas hati atau sengaja ‘memancing’ trafik di media sosial hanya untuk menjadi ‘yang terpaling’ dalam sesebuah topik.

Prolog - Lebih sikit jam 2 pagi, usai bertugas di konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026 yang telah berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, penulis melayari platform media sosial yang sohor kini, Threads.
Sayangnya, membaca satu persatu luahan tentang konsert yang dianjurkan oleh Hitman Solution ini, hati saya gelisah dan sedih.
‘Inikah cermin budaya penikmat hiburan dan pencinta muzik?’
Kronologi - ramai dalam kalangan peminat terutama yang membeli tiket pada bahagian tempat duduk atas stadium melahirkan kekecewaan tentang sistem bunyi yang kurang memuaskan; antaranya mendakwa tidak dapat mendengar nyanyian Ella kerana sistem bunyi ditutup serta banyak permasalahan lain.
Selain mencarut (entah itu sengaja supaya ramai yang ‘terbeli’) atau memang bahasa percakapan sehari-harian berada pada oktaf kelapan, semua luahan yang kemudian disambut berjemaah secara berpuak-puak cukup membimbangkan dan mendukacitakan.

Ya, faham. Kita semua menggunakan wang membeli tiket lalu mengharapkan yang terbaik dalam sesebuah penganjuran kerana fitrah manusia, mimpi yang diulit sepatutnya menjadi intan, bukan kaca — maka sangat relevan untuk berasa kecewa apabila sistem bunyi yang menjadi asas kepada sesebuah penganjuran konsert berada pada tahap yang buruk.

Namun, adakah menulis dengan kesat dan membanding-bandingkan penganjuran sesebuah konsert artis A dengan artis B atau penyanyi X dengan penyanyi Y lalu bukan sahaja merendahkan kredibiliti penghibur yang telah menceriakan kehidupan anda itu adil?
Jika anda rasa itu adil, anda berhak. Kerana perasaan adalah satu rasa yang rumit dan subjektif.
Jika berasa tidak adil, anda juga berhak kerana mimpi selalunya tidak sesuai ekspektasi.
Ya, akan selalu ada dua perspektif entah itu secara akademik bagi yang cerdik pandai atau sekadar saja mahu berada dalam keramaian apabila ada satu topik untuk diperdebatkan.
Bagaimanapun, meluahkan dan menterjemahkannya dengan berlebihan terutama di media sosial - ini boleh masuk dalam kategori yang menampakkan attitude kurang manis dan membuli.

BULI
Tolong, jangan membuli artis Malaysia dengan ‘jari’ yang tajam dan meninggalkan kewarasan serta adab yang santun - yang sangat terkenal sebagai identiti kita.
Sistem bunyi di konsert Ella teruk? Tegur. Bukan membandingkan dengan penganjuran lain - siapa yang lebih baik siapa yang paling buruk.
Untuk semua kekecewaan dan keluhan ini, saya menyeru agar pihak penganjur tolong cakna. Tolong jangan lumpuhkan industri hiburan Malaysia yang sangat kecil dengan penganjuran bermotif keuntungan semata-mata.

Anjurkanlah sebuah penganjuran dengan bermaruah, penuh kecintaan dan menghormati karya serta kualiti karyawan seni Malaysia.
Kalau bajet kecil - usahakan paling maksimum setimpal dengan bayaran tiket dan merealisasikan mimpi peminat dengan sesempurna mungkin.
Buat artis atau tim produksi - ‘fight’ atau ‘bergaduh’ lah demi memvisualkan persembahan yang gah kerana ia adalah martabat anda yang sedang dipertaruhkan.
Dalam kes konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella, ada banyak pelajaran dan pengajaran yang boleh diambil - terutama buat para penganjur - jangan main-main dengan kuasa pembeli dan meraih keuntungan sementara nama artis rosak kerana sikap tidak bertanggungjawab serta berselindung di sebalik nama penganjur yang gah.

Epilog - baik saya patut berhenti ‘bitter’ dan membebel di sini.
Tapi dengan suka cita saya ingin mengatakan Ella menerusi penganjuran konsert ini telah meletakkan tanda aras yang cukup tinggi dalam nilai soft power atau melunakkan penampilan persembahan secara lansung tanpa perlu ‘hustle culture’ dan terlalu ‘keakuan’ hanya untuk membuktikan ‘Aku Ella’.

Pada konsert berskala besar ini, malah di Stadium Nasional Bukit Jalil yang boleh memuatkan lebih 80,000 penonton serta sangat sakti, Ella hanya perlu menjadi Ella yang asli - dengan pesonanya, lewat attitude manja ‘Ella rasa’nya, menerusi imej sederhana tapi macam ada tarikan magnet ‘lawanya Ella’ meski hanya menyarung t-shirt putih dan busana putih ringkas yang dipakai untuk konsert se-ikonik itu dan paling penting tim pemuzik yang diketuai Datuk Acis yang ‘bermain’ dengan kualiti tersendiri; suka atau tidak, telah ‘menyihir’ peminat dengan vokal dan penampilan energatiknya.
Sebagai pemain senior dunia hiburan - sama seperti barisan pemuzik dan tim yang terlibat, saya percaya mereka telah melakukan yang terbaik.
TAK ‘LAPAR’ VALIDASI
Lihatlah bagaimana bergemuruh stadium saat Ella dengan sederhana tapi meninggalkan kesan yang signifikan apabila mengelilingi stadium bersama barisan atlet negara termasuk jaguh squash dunia, Datuk Nicol David, mantan ahli gimnastik, Farah Ann dan atlet lontar peluru, Ziyad saat menyampaikan Standing in the Eyes of the World yang cukup ikonik dengan dunia sukan, sekali lagi bergema di lokasi sama selepas pertama kali dipersembahkan pada temasya Sukan Komenwel yang berlangsung pada 1998.
Pada usia 59 tahun juga, cukup adil untuk memberi kredit hebat buat Ella - yang suka untuk saya gunakan bahasa pasar ‘makin gila dan liar’ menuju akhir konsert apabila bukan hanya berlari tapi mampu melantunkan vokal dengan baik pada kebanyakan lagu-lagu yang dipersembahkan termasuk Sembilu, Dua Insan Bercinta, Layar Impian, Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Gemilang yang menutup tirai ; dan menyaksikan stadium masih gegak gempita dengan suara peminat bergema menikmati konsert se-maksimum-nya.

Itu belum lagi pada segmen kolaborasi bersama Datuk Amy Search, Tam Spider, Amir Masdi dan Sam Bunkface - semuanya meninggalkan kesan baik dan ‘menjadi’.
Dan buat peminat yang merungut berasa Ella banyak mendendangkan lagu bukan dalam pilihan, senarai serta ‘tidak ikut tekak’ - percayalah, itu adalah pilihan tepat yang dibuat Ella terutama pada segmen khas mendendangkan lagu penyanyi wanita pilihannya serta karya sentuhan Datuk M. Nasir yang banyak berjasa dalam pembentukkan awal identiti karier Ella sebagai penyanyi rock wanita tanah air.

Kurang lebih saya tutup artikel ini dengan reviu tentang konsert - Majlis Tertinggi Rock Queen Ella telah berlangsung dengan sangat ‘raw’ terutama pada sudut teknikal yang sukar dijangka jika berlaku masalah saat bersiaran langsung (tapi cuba diminimumkan sebaik boleh), menebarkan energi bebas seperti genre rock itu sendiri, tidak terlalu berusaha keras untuk membuktikan ‘aku hebat’ dan Ella adalah satu-satunya Ella ; yang jika suatu hari beliau menutup usia, dunia hiburan akan kehilangan ‘harta karun’ penyanyi rock wanita sepanjang zaman yang pernah dilahirkan Malaysia.
Untuk seluruh tim Ella, kerja seni kalian hebat. Terima kasih untuk semua kerja keras dan tampil dengan kualiti serta antusias yang penuh sekaligus meletakkan karyawan seni negara pada satu martabat yang baik.
Majlis Tertinggi Ella Rock Queen adalah momen langka yang tidak akan terulang. Pulang dengan kekecewaan atau menumbuhkan kecintaan, itulah momen yang anda dapatkan dalam konsert tanpa meraih validasi berlebihan dan ‘rock n roll’ daripada the legendary Ella - sang rock queen yang luar biasa dan satu dalam sejuta.