Skip to main content

Hiburan

Madonna, Shakira Dan BTS Bakal Gegarkan Persembahan Separuh Masa Final Piala Dunia

Astrogempak FIFA

Sekilas

  • Madonna, Shakira, dan BTS akan menjadi artis utama persembahan separuh masa pertama dalam sejarah final Piala Dunia FIFA pada 19 Julai di Stadium MetLife, New Jersey.
  • Chris Martin dari Coldplay bertindak sebagai kurator persembahan yang juga menyokong Dana Pendidikan Warga Global FIFA dengan sasaran kutipan US$100 juta.
  • Piala Dunia 2026 akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico dengan 48 pasukan bertanding, menampilkan persembahan hiburan separuh masa yang lebih lama daripada biasa.

Superstar global Madonna dan Shakira serta band lelaki popular  Korea Selatan BTS akan menjadi artis utama persembahan separuh masa, yang pertama dalam sejarah final Piala Dunia FIFA, lapor PA Media/dpa.

Vokalis Coldplay Chris Martin, yang mendedahkan barisan artis itu menerusi video media sosial menampilkan watak daripada “Sesame Street dan The Muppets”, bertindak sebagai kurator persembahan bersejarah itu.

Perlawanan akhir Piala Dunia dijadual berlangsung pada Ahad, 19 Julai, di Stadium MetLife di New Jersey.

Presiden FIFA Gianni Infantino, yang turut berkongsi butiran acara itu menerusi hantaran di Instagram, mengumumkan rancangan persembahan Mac tahun lepas.

Ia berkemungkinan menyebabkan tempoh rehat separuh masa final berlangsung lebih lama daripada kebiasaan iaitu selama 15 minit.

Persembahan itu akan diadakan bagi menyokong Dana Pendidikan Warga Global FIFA, satu inisiatif yang menyasarkan kutipan US$100 juta untuk memperluas akses kepada pendidikan dan bola sepak bagi kanak-kanak di seluruh dunia.

Persembahan hiburan separuh masa menjadi elemen utama acara sukan di Amerika Syarikat, khususnya semasa Super Bowl.

Madonna pernah menjadi artis utama persembahan separuh masa Super Bowl pada 2012, manakala Shakira berkongsi pentas bersama Jennifer Lopez pada acara itu pada 2020.

Musim panas lepas, FIFA turut menganjurkan persembahan separuh masa di Stadium MetLife semasa final Piala Dunia Kelab FIFA, apabila Chelsea F.C. menewaskan Paris Saint-Germain F.C. 3-0.

Piala Dunia terbesar yang menampilkan 48 pasukan itu akan bermula pada 11 Jun dan dianjurkan di seluruh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Sumber: Astro AWANI

Anda mungkin berminat dengan

ZANZEA Women Korean Casual Stripes Drop Shoulder 3/4 Sleeve Blouse

ZANZEA Women Korean Casual Stripes Drop Shoulder 3/4 Sleeve Blouse

ZANZEA Women Solid Two-Piece Bat Sleeve Vintage Muslim Maxi Dress

ZANZEA Women Solid Two-Piece Bat Sleeve Vintage Muslim Maxi Dress

Tealive Bru & Friends - Milk Tea

Tealive Bru & Friends - Milk Tea

JOOLA PROTON SELKIRK Pickleball racket surface protective cover, Waterproof, Extremely durable synthetic rubber material

JOOLA PROTON SELKIRK Pickleball racket surface protective cover, Waterproof, Extremely durable synthetic rubber material

YAN@YAN Sut Wanita Gaya Korea

YAN@YAN Sut Wanita Gaya Korea

Advertisement