Sekilas
- Fauziah Latiff membuktikan dirinya sebagai penghibur senior yang berkualiti melalui konsert 4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert yang penuh nostalgia dan dihargai peminat tegar.
- Konsert tersebut menampilkan susunan muzik segar yang sesuai dengan usia dan kemampuan vokal Fauziah, tanpa menghilangkan sentuhan lagu-lagu hitnya yang dikenang ramai.
- Walaupun menerima kritikan di media sosial, Fauziah menunjukkan sikap rendah diri dan dedikasi tinggi dalam menghiburkan penonton sepanjang acara berlangsung.
Barangkali, nama Fauziah Latiff adalah penyanyi paling underrated untuk beberapa tahun kebelakangan ini masuk dalam senarai penghibur yang wajib melakukan konsert berbanding nama-nama lain dalam semaraknya penganjuran acara industri hiburan tanah air.
Jika ada pun yang mahu melihat Fauziah Latiff di atas panggung, mengalunkan untaian hitnya sejak aktif di sekitar akhir tahun 80-an, mereka adalah peminat tegar dan setia yang mengikuti perjalanan karier nyanyiannya yang sempat redup bersama kehidupan sederhana serta low profilenya.

Namun apabila Fauziah Latiff menerima lamaran Ideatalier untuk hadir dengan 4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert, bintang paling underrated ini menyerlahkan kualiti dan kredibiliti sebagai seorang penghibur senior yang hidup bukan berpaksi populariti tetapi kecintaan sejati terhadap bidang yang ditekuni.
Dan peminat tegarnya berpuas hati, berasa beruntung telah menjadi saksi kualiti Fauziah Latif atau Jee sebagai seorang penghibur yang tidak patut berundur dan disisihkan industri.
Kita bermula dengan sedikit teguran ini. Di pelbagai platform media sosial termasuk pada bahagian komen, ada dalam kalangan warganet merendahkan, meninggalkan kata-kata jelek serta membandingkan Jee sebagai tidak layak lagi menyanyi ; ‘baik jadi pelakon’ atau ‘suara tidak sampai, bukan legenda’ dan ‘membazir bayar mahal’.
Jujurnya, kata-kata jelek yang ditinggalkan itu cukup meninggalkan kesan bukan kepada Jee (penulis tidak tahu kerana tidak sanggup bertanya), tetapi buat peminat tegar yang hadir dan menikmati 4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert di Plenary Hall pada malam bersejarah itu.

Meski penulis tahu, kata-kata jelek itu biasanya datang daripada bukan dalam kalangan peminat yang ada di tempat kejadian, namun ia menunjukkan moral dan intelektual yang kurang bijak. Adakah pernah mereka memikirkan bagaimana Jee atau penghibur lain ’bertempur’ dengan perasaan sendiri hanya untuk melunaskan tanggungjawab menghiburkan peminat sebagai penyanyi?
Itu yang seharusnya menjadi penimbang buat Jee dalam 4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert. Bayangkan, sebagai seorang penyanyi wanita yang memiliki pengalaman 40 tahun, mempunyai untaian lagu hit yang telah menemani hidup kita selama ini (terutama generasi Milenial) Jee langsung tiada ego.
Banyak kali penghibur berusia 55 tahun ini meminta maaf. Beliau juga melahirkan rasa takut. Antara yang diluahkan Jee adalah kegundahannya yang berbunyi: “might not be perfect tapi akan menjadi memorable untuk kita semua” - merujuk kepada konsert atau mutu yang dipersembahkan pada malam itu tidak mencapai ekspektasi.

Gubahan lagu best, sikap ‘membumi’ Jee
Malah sewaktu sesi bertemu kumpulan media usai konsert, sambil bergenang air mata setelah diberi tepukan gemuruh kerana tuntas menyudahkan 4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert, perkataan pertama yang diucapkan Jee: “Minta maaf ya kalau ada kurang.”
Jee, anda adalah Fauziah Latiff. Anda adalah legenda industri muzik yang pada 4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert telah membawa kami pulang ke terowong masa dengan lagu-lagu seperti Setiaku Korbankan, Kenari, Kau Merubah Segalanya, Dari Kaki Tangga ke Menara, Batas Menanti dan Bukan Kemahuan Fikiran dengan cukup baik.
Bersama untaian itu, tentulah hit malar segar seperti Enggan, Dia, Aku Masih Seperti Dulu, Gubahan Rindu Puisi Syahdu dan Teratai Layu Di Tasik Madu menjadi katalog wajib yang menebarkan perasaan di antara teruja dan sebak saat melihat Jee mendendangkan kesemuanya dengan sehabis baik.
Fauziah Latiff tidak perlu meminta maaf kepada kami. Anda telah melunaskan tanggungjawab menghiburkan kami dengan sangat baik bersama pasukan pemuzik yang diketahui Chaan yang telah menyusun dan mengubah semula kebanyakan lagu dengan cukup baik. Lagu-lagu yang digubah tidak menghilangkan ‘rasa’ tetapi menambahkan kesegaran dan paling penting bersesuaian dengan kemampuan dan faktor usia Jee yang tidak lagi muda.
Secara peribadi, penulis suka melihat dalam sesebuah penganjuran terutama konsert, bukan menyanyi atau memiliki kualiti vokal seperti 20 atau 30 tahun silam yang patut dipertaruhkan (jika masih sama, itu bonus), bukan ego yang perlu kekal di piawaian tertinggi tetapi bagaimana seseorang penyanyi beradaptasi dengan perubahan baik dari segi vokal, susunan muzik serta atmosfera pada malam kejadian.

Dan kesemua faktor itu didapatkan dalam 4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert. Semuanya berlangsung sederhana tetapi memiliki kualiti tersendiri ; Jee tahu kemampuan diri, tidak memaksa-maksa untuk menampilkan diri sebagai penyanyi bernada tinggi yang notasinya tidak boleh disentuh atau dikurangi. Persembahan panggung, permainan cahaya dan sistem bunyi yang berada dalam piawaian memuaskan ; sekali lagi diulang tidak berlebihan tetapi menerbitkan nuansa 90-an yang penuh nostalgia.
Selebihnya? Meski tidak sempurna seperti kata Jee, 4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert yang menjadi lebih manis dengan gandingan duet Jee bersama Datuk Jamal Abdilllah untuk lagu Kehebatan Cinta adalah sebuah penganjuran yang sangat bermakna dan membekaskan nostalgia serta momen terbaik buat semua.

Seperti kata Jee, 4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert adalah permulaan baharu buatnya, maka kita doakan agar beliau kembali aktif menerima undangan dan menjadi penghibur yang tidak terdesak untuk membuktikan kehebatannya. Terima kasih kerana telah menjadi diri sendiri lewat pengalaman yang telah dilalui.
Cukup Jee menjadi Fauziah Latiff, penghibur dengan katalog lagu yang hebat kebanyakannya nukilan Allahyarham Ross Ariffin masih berada dalam industri hiburan. Kita memerlukan sosok pejuang dan manusia dengan sikap ‘membumi’ untuk menyeimbangkan dunia hiburan dan menjadi indikasi bahawa industri seni bukan gelanggang berlaga ego tetapi lapangan karier yang dijalani dengan minat dan kecintaan sejati.
