Sekilas
- Siri Impiana: Karma yang diadaptasi daripada novel Ain Maisarah kini ditayangkan di Astro Ria setiap Rabu dan Khamis jam 9 malam, mengisahkan tentang kesan buli mental dan verbal yang mendalam.
- Ain Maisarah berkongsi cabaran dan keterujaannya melihat adaptasi novel ke drama yang berjaya mengekalkan vibe asal serta membawa nafas segar dengan plot yang laju dan berlapis.
- Drama 22 episod ini diarahkan oleh Erya Rahman dan menampilkan pelakon hebat seperti Tiz Zaqyah dan Juliana Evans, menggabungkan elemen drama, komedi gelap, dendam dan thriller.
Siri Impiana: Karma yang ditayangkan menerusi slot DramaVaganza di Astro Ria setiap Rabu dan Khamis pukul 9 malam mula menjadi bualan selepas jalan ceritanya berkembang dengan penuh debaran.
Mengakui agak sukar melepaskan naskhah kepada medium visual, penulis novel drama tersebut, Ain Maisarah berkata proses adaptasi lazimnya mengundang kebimbangan besar dalam kalangan penulis.
“Ketakutan penulis bila masuk adaptasi ialah risau ia jadi lain. Vibe berubah, watak dalam kepala pembaca tak sama.
“Sebab itu adaptasi novel ke drama sangat kompleks. Tapi kali ini risikonya terkawal sebab yang nak merealisasikan ini ialah pembaca juga,” katanya.
Namun setelah melihat hasilnya, penulis itu mengakui teruja dengan hasil yang dilaksanakan.
“Ini peluang istimewa. Macam ada syarikat impiana yang menunaikan impian kami.
“Setiap babak atau dialog rasa macam ‘eh ini saya pernah baca’ dan wataknya direalisasikan. Ia pengalaman sangat berbeza,” ujarnya.
Menurut Ain lagi, Impiana: Karma bukanlah naskhah klise dan membawa nafas segar kepada penonton tempatan.
“Drama ini tak sama, tak klise. Ceritanya laju dan simpan banyak plot berangkai.
“Kalau nak komen, nanti dulu. Tahan dulu tangan daripada komen-komen netizen.
“Ini percubaan berani untuk ubah pola penonton Malaysia. Jadi kena sokong,” katanya.
Gabungan produksi dan para pelakon berjaya menghidupkan tulisan Ain Maisarah ke layar, terutama mesej penting tentang buli, bukan sekadar fizikal, tetapi mental dan verbal yang mampu meninggalkan luka mendalam.
“Buli bukan hanya fizikal. Buli mental, percakapan… semuanya boleh beri impak negatif yang lama.
“Dalam Impiana novel lagi kita letakkan sisi itu, 10 tahun pun dendam masih hidup. Jadi jangan membuli pada mana-mana fasa kehidupan,” jelas Ain Maisarah.
Diarahkan pengarah berkaliber Erya Rahman, siri itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Tiz Zaqyah, Juliana Evans, Ezzanie Jasny, Yuna Rahim, Adriana Adnan dan Sharifah Haneesya.
Naskhah adaptasi novel karya penulis prolifik Ain Maisarah itu tampil dengan gabungan drama, komedi gelap, dendam dan thriller yang terbit daripada kesan buli.
Diproduksi oleh Zeel Production Sdn Bhd, siri 22 episod itu menyorot perjalanan sekumpulan rakan lama yang terperangkap dalam godaan sebuah syarikat misteri, Impiana Sdn Bhd, yang menawarkan peluang merealisasikan impian dalam tempoh tiga bulan.
Untuk mengetahui bagaimana kesan buli mental mampu memusnahkan hidup hanya kerana percaya pada janji Impiana, penonton boleh mengikuti Impiana: Karma setiap Rabu dan Khamis, jam 9 malam di Astro Ria dan juga di platform Sooka.