Sekilas
- Imranul Effendy akui segan melakonkan dan menonton babak tidak berbaju dalam filem seram Nar’sata: Sekutu Setan demi impak jalan cerita.
- Imranul puji pengarah Pierre Andre yang sentiasa berkomunikasi dan menghormati keselesaan pelakon dalam babak 'daring'.
- Filem ini akan ditayangkan pada 21 Mei dan turut menampilkan pelakon terkenal lain seperti Trisha Ooi dan Mawar Rashid.
Pempengaruh media sosial yang kini bergelar pelakon, Imranul Effendy mengakui segan untuk melakonkan adegan ‘daring’ serta menonton babak yang memaparkan dirinya tidak berbaju dalam filem seram terbaharu lakonannya yang berjudul Nar’sata: Sekutu Setan.
Menurut Imranula, dia hanya bersetuju untuk melakonkan babak tersebut adalah kerana mahu memberi impak terhadap jalan cerita disamping memenuhi kehendak pengarah.
“Ketika adegan tersebut ditayangkan, saya pun tutup mata. Saya sendiri malu nak tengok. Namun, itu semua adalah kehendak naskhah. Saya sehabis baik mengikut apa yang telah ditetapkan.
“Saya mahu babak-babak itu memberikan impak kepada penonton. Saya tak nak buat secara suam-suam kuku sahaja. Kalau nak buat, kena buat betul-betul sampai habis.
“Jika babak-babak itu tidak dimasukkan di dalam filem, rasa itu tidak akan sampai,” katanya kepada Gempak.
Imranul berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di malam tayangan perdana filem Nar’sata: Sekutu Setan bertempat di TGV Sunway Pyramid pada Selasa.
Dalam masa yang sama, pempengaruh yang mula tular melalui muzik video Jodoh Lebaran ini memuji pengarah, Pierre Andre yang begitu terbuka menerima pandangan daripada pelakon.
“Saya sangat memuji cara kerja Pierre Andre. Dia akan minta kebenaran dan bertanya dahulu sama ada kita selesa atau tidak untuk buat adegan buka baju dan babak ‘daring’.
“Kami ada komunikasi bersama pengarah. Jika naskhah menuntut kita untuk menjayakan sesuatu adegan itu, saya akan buat.
“Jika babak itu tidak diperlukan tapi pengarah minta kita buat juga, saya akan persoalkan,” katanya lagi.
Bercerita lanjut mengenai pembabitannya dalam filem ini, Imranul memaklumkan bahawa dia sanggup meluangkan masa membuat rujukan bagi menghidupkan lagi watak yang dibawanya.
“Apa yang dipertontonkan itu bukanlah diri saya. Watak Ben itu bukan Imranul. Bila terpaksa melakonkan watak remaja yang terlibat dengan gejala tidak sihat ini, saya terpaksa buat research dan bergaul dengan ‘mereka’ di dunia nyata.
“Saya kena faham cara kehidupan mereka. Saya tidak akan dapat bawakan watak ini jika rasa itu tiada. Jadi, saya kena buat research sedalam-dalamnya. Itulah hal yang paling saya risau sekali,” ujarnya.
Bagaimanapun, Imranul turut memohon maaf sekiranya babak-babak yang dilakonkannya itu menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya peminat.
“Pertama sekali, saya ingin memohon maaf jika ada yang rasa tersinggung. Jujur saya katakan, saya buat babak itu untuk memberikan impak kepada penonton.
“Saya bukan buat secara suka-suka. Niat saya sebagai pelakon adalah untuk memberikan pengajaran kepada masyarakat,” akhirinya.
Selain Imranul, filem yang mendapat sentuahan pelakon dan pengarah, Pierre Andre ini turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Trisha Ooi, Mawar Rashid, Khatijah Tan, Wan Hanafi Su, Aniq Suhair, Fadlan Hazim dan ramai lagi.
Filem yang diterbitkan Metrowealth International Group (MIG) ini bakal ditayangkan pada 21 Mei ini di pawagam seluruh negara.