Sekilas
- Dr Afifah Hidayah, bekas isteri penyanyi Nubhan, terkilan dengan tindakan bekas suaminya memfailkan komital terhadapnya dan berharap urusan dipermudahkan.
- Dr Afifah kini menjaga tiga anak mereka dan berharap Nubhan mempertimbangkan semula tindakan demi kebaikan bersama serta kesihatan mentalnya.
- Mahkamah menetapkan 10 Ogos sebagai tarikh prosiding kedua untuk Dr Afifah failkan afidavit pembelaan berhubung dakwaan pelanggaran perintah mahkamah.
Bekas isteri kepada penyanyi, Nubhan iaitu Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek mengakui berasa terkilan dengan tindakan bekas suami yang memfailkan komital terhadapya.
Menurut Dr Afifah yang mesra disapa Dr Fie, dia yang menerima notis tersebut kira-kira seminggu lalu berharap segala urusan dipermudahkan.
“Saya dapat notis baru seminggu, pada 28 April tempoh hari. Saya juga terkejut apabila dapat perintah mahkamah ini. Saya hanya doakan semuanya baik-baik
“Saya juga penat bekerja, saya nak jaga anak-anak dan uruskan mereka ke sekolah. Pagi ini pun saya tak dapat hantar anak saya. Jadi saya agak terkilan dengan notis yang dihantar.
“Saya tak sangka perkara seperti ini akan berlaku. Anak-anak baik dengan saya, jadi saya tertanya kenapa perkara ini terjadi,” katanya kepada Gempak.
Dr. Fie berkata demikian ketika ditemui usai prosiding tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam pada Selasa.
Dalam pada itu, Dr Fie yang berkhidmat sebagai seorang doktor gigi berharap agar bekas suaminya itu dapat mempertimbangkan semula tindakan yang diambil demi kebaikan bersama.
“Saya sekarang menjaga anak-anak, jadi saya harap dia boleh bertindak dengan baik dan fikirkan masa depan anak-anak. Fikirkan juga kesan terhadap mental dan kesihatan saya,” katanya lagi.
Terdahulu, Nubhan hadir ke perkarangan mahkamah berhubung prosiding komital mengenai pelanggaran mahkamah yang difailkan terhadap Dr. Fie.
Walau bagaimanapun, perincian lanjut mengenai bentuk pelanggaran perintah mahkamah itu belum didedahkan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh bagi prosiding kedua buat Dr Fie selaku defendan untuk memfailkan afidavit pembelaan berhubung dakwaan tersebut.
Sebelumnya, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan Nubhan sah bercerai dengan Dr. Fie selepas meneliti lafaz talak yang dibuat di luar mahkamah.
Hakim Umamuddin Yunus menetapkan bahawa lafaz talak kali kedua yang dilafazkan Nubhan pada 26 Ogos lalu adalah sah mengikut hukum syarak dan undang-undang keluarga Islam.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Fie mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.