Sekilas
- Penonton yang terkesan di aras 3 semasa Konsert Majlis Tertinggi RockQueen di Bukit Jalil akan mendapat akses pembelian tiket awal dan diskaun bermula 8 Mei.
- Jualan tiket untuk orang awam akan dibuka pada 11 Mei bagi Konsert Majlis Tertinggi RockQueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru yang dijadualkan pada 25 Julai 2026 di Pulau Pinang.
- Penganjur telah menambah baik proses penguatkuasaan dan pemantauan konsert untuk memastikan kelancaran acara akan datang berdasarkan maklum balas penonton sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Rockqueen, Kapten Azhar Ghazali mengumumkan keutamaan pembelian tiket Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru akan diberikan kepada penonton yang terkesan di aras 3 semasa Konsert Majlis Tertinggi RockQueen yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum ini.
Menurutnya, golongan berkenaan akan menerima akses pembelian awal tiga hari lebih awal berbanding orang awam, selain menikmati diskaun bagi kategori tiket tertentu bermula 8 Mei.
“Kami akan membuka jualan tiket kepada orang awam pada 11 Mei, manakala bagi mereka yang terkesan di Kuala Lumpur sebelum ini di aras 3 pada 8 Mei, mereka akan diberikan akses kepada platform pembelian awal.
“Melalui akses ini, mereka boleh memilih tiket yang ditawarkan, termasuk diskaun bagi kategori tertentu. Ini merupakan imbuhan kepada mereka yang terkesan," katanya kepada Gempak.
Azhar berkata demikian ketika sidang media khas Majlis Tertinggi Rockqueen Ella Edisi 60 Permata Biru yang berlangsung di Odeon, kuala lumpur, hari ini.
Dalam masa sama, Azhar memaklumkan pihak penganjur turut melakukan penambahbaikan dari aspek penguatkuasaan dan pemantauan konsert bagi memastikan kelancaran acara akan datang.
“Kami juga telah menambah baik semua proses sedia ada dari sudut tatacara, penguatkuasaan dan pemantauan.
“Penambahbaikan ini akan diterapkan di Pulau Pinang dan insya-Allah semuanya akan berjalan lebih lancar, dengan mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku," ujarnya.
Terdahulu, penonton Konsert Majlis Tertinggi RockQueen di Konsert Nasional Bukit Jalil pada 14 Februari lalu meluahkan rasa kecewa, khususnya mereka yang berada di kawasan tiket Bronze (aras 3), susulan kualiti sistem bunyi yang kurang memuaskan sehingga persembahan Ella tidak dapat didengar dengan jelas.
Sekdar info, Konsert Majlis Tertinggi RockQueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru dijadualkan bakal berlangsung pada 25 Julai 2026 di Stadium Negeri Pulau Pinang, dengan harga tiket bermula serendah RM39.