Sekilas
- Pelakon Sky Iskandar sanggup bergegas dari Taiping ke Kuala Lumpur untuk menjalani penggambaran babak terakhir filem aksi TARUNG: Unforgiven pada malam yang sama.
- Filem TARUNG: Unforgiven mengisahkan Hatta, bekas juara silat yang terpaksa bertarung di gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya, dan kini ditayangkan di 148 pawagam seluruh negara.
- Selain TARUNG, Sky juga bakal muncul dalam filem The Furious bersama Zul Ariffin tidak lama lagi.
Pelakon, Sky Iskandar membuktikan kesungguhannya terhadap dunia lakonan apabila sanggup bergegas dari Taiping ke Kuala Lumpur demi menjayakan penggambaran filem aksi, TARUNG: Unforgiven.
Walaupun kemunculannya dalam filem tersebut tidak terlalu banyak, namun Sky tetap memberikan sepenuh dedikasi terhadap watak dan tanggungjawabnya sebagai seorang pelakon.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Sky mendedahkan dia ketika itu sedang menjalani penggambaran projek lain di Taiping sebelum menerima panggilan daripada pelakon dan penerbit TARUNG: Unforgiven iaitu Aesy Ashraf untuk menjalani satu babak penting di Kuala Lumpur pada malam yang sama.
“Sedikit trivia, aku dekat Taiping tengah shoot Good Boys Go To Heaven. @aedyxashraf call aku, ‘Sky malam ni scene kau tau’ (dekat KL)
“Jam masa tu pukul 2 petang, babak setel dalam 7 petang. Aku cakap dekat Aedy, ‘ok pukul 11:30 malam aku sampai’
“Habis scene dekat taiping. Aku terus shoot drive ke KL. Sampai je, tak sempat buat apa, terus tukar baju, masuk set and roll,” kongsinya.

Menurut Sky lagi, babak tersebut sebenarnya merupakan antara adegan terakhir dalam filem berkenaan.
“Babak yang mana? Babak terakhir sekali dalam filem. Nak tahu, pergi lah tengok. Jangan spoiler alert please,” coretnya.
Hantaran Sky itu mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya memuji sikap Sky yang serius dan kesungguhannya dalam dunia lakonan.
Selain TARUNG: Unforgiven, Sky bakal muncul dengan filem The Furious bersama pelakon hebat, Zul Ariffin tidak lama lagi.
Filem aksi TARUNG: Unforgiven yang tampil dengan tagline ‘kau cuma ayam sabung’ mengangkat naratif berani dengan menjadikan kehidupan sebagai ‘gelanggang’ sebenar.
Karya arahan Razaisyam Rashid itu diterbitkan oleh ALPHA47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw.
Selain jalan cerita sarat emosi hasil tulisan bersama Amar Amir, filem tersebut dibintangi Mierul Aiman, Aedy Ashraf, Bront Palarae, Zul Ariffin, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz dan Sharifah Sakinah.
Tarung: Unforgiven kini ditayangkan di 148 pawagam seluruh negara.
Sinopsis:
Hatta (Mierul Aiman) merupakan seorang bekas juara silat, diburu dosa silam selepas berlakunya satu tragedi.
Namun, demi menyelamatkan kakaknya, dia menerima tawaran daripada Paduka Badrul (Zul Ariffin) untuk ke gelanggang haram.
Hatta tidak menyedari lawan yang menanti ialah Isa (Aedy Ashraf), sahabat lama yang kini menjadi musuh akibat dendam.