Penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha berkongsi pengalamannya selepas diserang Influenza A yang disifatkan sebagai antara penyakit paling teruk pernah dialaminya.
Menerusi perkongsian di Instagram, Daiyan memaklumkan dia terpanggil untuk bercerita mengenai keadaannya memandangkan berlaku peningkatan kes penyakit itu sejak akhir-akhir ini.
Advertisement
Menurut Daiyan, simptom yang dialaminya kali ini jauh lebih teruk berbanding jangkitan Covid-19.
“Hari-hari Influenza A akhirnya berakhir. Biasanya saya tak beritahu orang bila saya sakit, tapi kali ini saya rasa nak kongsi pengalaman sebab sekarang ni ramai yang kena.
“Yang ini pada saya lagi teruk daripada Covid, sakit gila nak mati. Bermula dengan sakit tekak, dan sekelip mata terus tumbang. Hari pertama memang ‘gone’, terlantar atas katil dan terpaksa tangguh semua urusan,” jelasnya.
“Rasa berat kepala dan badan, migrain berterusan, sakit otot dan sendi, cirit-birit, semuanya datang sekali.
“Dan untuk kaum wanita, walaupun bukan waktu haid, korang mungkin akan rasa sakit perut seolah-olah senggugut, tapi itu bukan rahim, itu kesan virus,” kongsinya.
Dalam pada itu, Daiyan berkata dua hari pertama merupakan fasa paling sukar, manakala hari-hari seterusnya sedikit pulih namun keadaannya masih lemah dan banyak berehat di atas katil.
“Saya juga mengalami menggigil pada waktu malam, malah saya pernah pengsan di dalam tandas pada subuh.
“Dua hari pertama adalah yang paling teruk, manakala hari-hari berikutnya agak terkawal walaupun saya hampir tidak bangun dari katil.
“Sakit itu datang dan pergi, sekejap rasa okay, sekejap rasa teruk. Tapi saya survive juga akhirnya,” katanya.
Dalam hantaran yang sama, Daiyan juga menasihatkan supaya mereka yang mengalami simptom seperti selesema atau demam segera membuat ujian dan mengasingkan diri jika disahkan positif.
“Kalau rasa tak sihat, tolong pergi buat ujian. Kalau dijangkiti, tolong kuarantin diri. Ini bukan masa untuk pentingkan diri. Virus ini sangat mudah berjangkit dan amat menyakitkan.
“Bayi dan kanak-kanak boleh menderita teruk kalau kita tak ambil langkah pencegahan. Dengar badan sendiri, ambil suplemen, minum air secukupnya dan jaga diri baik-baik semua,” pesannya.
Berikut merupakan perkongsian Daiyan: