Sekilas
- Khairul Aming sebak ketika memberi ucapan di majlis perkahwinan sahabat baiknya, Kemey Hakim, yang dianggapnya sangat setia dan banyak berkorban sepanjang persahabatan mereka.
- Khairul Aming mendedahkan Kemey selalu menjaga dirinya ketika sakit, membantu urusan kerja, dan sentiasa menemani serta menyokongnya walaupun dalam keadaan penat dan sibuk.
- Video ucapan Khairul Aming yang penuh emosi itu tular di media sosial, menyentuh hati ramai netizen termasuk Kemey yang turut menitiskan air mata.
Personaliti media sosial dan usahawan, Khairul Aming tidak dapat menahan sebak ketika memberikan ucapan di majlis perkahwinan sahabat baiknya yang dikenali sebagai Kemey Hakim.
Menerusi ucapan yang penuh emosi itu, Khairul Aming mengakui tidak mudah untuk memiliki seorang rakan yang setia dalam susah dan senang.
“Jatuh air mata depan satu dewan bila tengok best friend dah berumahtangga. Bukan senang nak dapat kawan yang ada masa susah dan senang.
“I’m so happy for both of you. Please take good care of your wife Mey,” luahnya.
Dalam pada itu, Khairul Aming juga turut berkongsi pengorbanan besar sahabay baiknya itu sepanjang tempoh persahabatan mereka.
Menurut Khairul Aming, Kemey merupakan individu yang sentiasa menguruskan dirinya setiap kali jatuh sakit selain memastikan setiap urusan kerja berjalan lancar.
“Bila saya sakit dialah yang akan carikan ubat, kalau saya sakit dia teman saya ke hospital, dia yang uruskan semua bill saya.
“Dia yang teman saya pergi ‘outstation’ luar negara, dia cari makanan waktu saya tak sempat nak makan selesaikan kerja.
“Dia juga ‘bodyguard’ saya, walaupun tinggi langit bumi berbeza tetapi dia tetap berada di sisi untuk melindungi saya setiap hari.
“Dunia nampak saya penat bekerja kan, kata ‘KA rehatlah, rehatlah’, tapi orang tak nampak sebenarnya dia sama penat dengan saya bekerja.
“Kalau saya shoot video tiga pagi, tiga pagilah dia akan ‘stay up’. Kalau saya edit video tak tidur, dia akan ‘stay up’ juga. Teman saya edit video takut saya perlukan apa-apa masa saya nak siapkan kerja.
“Kalau hari itu ada ‘event’ dan meeting yang perlu set ‘alarm’, dia akan set ‘alarm’ lima minit sebelum saya bangun untuk pastikan saya betul betul sedar,” jelasnya.
Tambahnya Khairul Aming lagi, di sebalik kejayaan yang dikecapinya, terdapat usaha dan pengorbanan Kemey yang sentiasa memastikan dirinya kekal kuat dalam menghadapi tekanan kerja.
“Enam tahun dia buat benda sama tanpa saya minta pun sebenarnya. Kalau ada 1,000 tugasan nak kena siapkan, dia akan semak satu persatu untuk pastikan tak ada benda pun yang saya tertinggal.
“Semua yang saya ada hari ini, datang dari usaha dia yang memastikan saya masih waras bila menghadap jutaan manusia,” ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial video Khairul Aming memberikan ucapan di majlis perkahwinan sahabatnya itu.
Namun paling menyentuh hati netizen adalah apabila Khairul Aming tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata ketika memberikan ucapan tersebut.
Malah sahabat baiknya, Kemey juga turut mengalirkan air mata sebaik sahaja mendengar ucapan Khairul Aming.
Sumber: Instagram @khairulaming