Sekilas
- Penyanyi Brian McKnight memfailkan saman fitnah terhadap bekas isteri Julie dan anak mereka, Brian Jr, kerana mendakwa mereka memberi naratif salah tentang sikapnya sebagai ayah sebelum kematian anak mereka, Niko.
- McKnight mendakwa Julie dan Brian Jr serta beberapa media mengambil kesempatan terhadap situasi Niko yang sakit dan mengeluarkan kenyataan fitnah yang menggambarkan dia sebagai bapa yang kejam dan mengabaikan anaknya.
- Julie menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan semua kenyataan yang dikongsikan adalah benar, manakala McKnight menanti hari perbicaraan untuk membersihkan namanya.
Penyanyi terkenal Brian McKnight, memfailkan saman terhadap bekas isteri, Julie dan anak mereka, Brian Jr kerana mendakwa telah memberi naratif yang salah terhadap peranan dan sikapnya sebagai seorang ayah terhadap salah seorang anaknya sebelum meninggal dunia, Niko.
Bintang Grammy itu memfailkan saman fitnah pada 21 April lalu dengan mendakwa Julie bersama Brian Jr dan beberapa media telah mengambil kesempatan terhadap situasi anaknya, Niko sewaktu sakit serta melakukan wawancara dengan naratif yang mengetengahkan kisah ‘kematian tragis dalam keluarganya’ selain mengeluarkan kata-kata fitnah terhadap dirinya.
Kesemua dakwaan itu diisi dalam dokumen yang difailkan ke mahkamah oleh penyanyi Back at One itu, lapor People.
McKnight, 56, juga menegaskan salah satu tanggungjawab yang telah diabaikan oleh bekas isteri dan anaknya adalah memberitahu Niko betapa dia sangat mencintai anaknya itu sebelum dia meninggal dunia kerana kanser usus. Niko meninggal dunia pada usia 32 tahun pada Mei 2025.

Julie sebelum ini mendakwa Niko telah mengucapkan ‘I Love You atau ‘Saya sayang anda’ kepada penyanyi itu namun McKnight tidak memberi sebarang respons.
“Niko mengucapkan ‘I Love You’ melalui panggilan telefon namun ia tidak dibalas. Itu adalah tuduhan yang menyaksikan McKnight seperti seorang bapa yang kejam dan mengabaikan perasaan anaknya ketika tenat,” isi dokumen itu lagi.
McKnight juga mendakwa telah menerima pesanan daripada Julie agar menjauhkan diri daripada anak mereka itu.
Namun pihak Julie menafikan dakwaan yang ditulis dalam dokumen serta mengatakan semua kenyataan yang dikongsikan kepada umum adalah benar.
Sejak sekian lama, McKnight diketahui mempunyai hubungan yang rumit dengan tiga anaknya, hasil perkahwinan bersama Julie, termasuk Niko.
Brian Jr malah pernah mendakwa bapanya telah menggelar mereka sebagai ‘produk dosa’ selain melakukan pengabaian terhadap mereka.
Penyanyi tersebut bagaimanapun pernah menafikan dakwaan yang dibuat dengan mengatakan dirinya berada di sisi anak-anak pada setiap keadaan.
“Saya tidak sabar untuk menanti hari perbicaraan dan mempunyai peluang serta ruang bercakap bagi pihak saya dengan semua fitnah yang telah dikeluarkan sebelum ini,” kata penyanyi Back at One itu.
Penyanyi itu dan Julie berkahwin pada 1989 sebelum bercerai pada 2003. Menurut laporan, keduanya menandatangi kontrak persetujuan agar mereka tidak saling memberi komen negatif pada 2014. Namun Julie didakwa melanggar syarat kontrak tersebut sewaktu melakukan temu bual bersama Tasha K dan Marc Lamont Hill yang juga merupakan defendan dalam kes saman tersebut.