Sekilas
- Amir Ahnaf menghargai kesabaran dan pengorbanan luar biasa golongan penghantar makanan dan pemandu e-hailing selepas membawakan watak sebagai grab rider dalam filem TARUNG: Unforgiven.
- Filem TARUNG: Unforgiven mengangkat naratif kehidupan sebenar penghantar makanan sebagai 'unsung hero' dan kini ditayangkan di 148 pawagam seluruh negara.
- Filem arahan Razaisyam Rashid ini menampilkan pelakon seperti Mierul Aiman, Aedy Ashraf, Bront Palarae, Zul Ariffin, dan Amir Ahnaf dengan jalan cerita penuh emosi dan aksi.
Pelakon, Amir Ahnaf menyifatkan golongan penghantar makanan dan pemandu e-hailing sebagai insan yang memiliki tahap kesabaran serta pengorbanan luar biasa demi meneruskan kelangsungan hidup.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Amir berkata pengalaman membawakan watak sebagai penghantar makanan dalam filem TARUNG: Unforgiven bersama pelakon, Mierul Aiman membuatkan dirinya lebih memahami realiti kehidupan sebenar yang dilalui golongan tersebut.
“Kalau cerita pasal surviving. Semua orang pun tengah survive. Tapi kalau cerita pasal pengorbanan, dalam Tarung, aku dan Mierul bawak watak grab rider.
“Dan dalam proses study character, aku faham kenapa @razaisyamrashid pilih watak utama sebagai grab rider,” coretnya.

Dalam masa sama, Amir turut mengakui dirinya cukup menghormati pekerjaan yang dilakukan oleh mereka yang bekerja sebagai penghantar makanan dan menyiratkannya sebagai ‘unsung hero’
“Aku percaya abang-abang grab rider kita ni punya level of sacrifice untuk keluarga, untuk masa depan, takde orang lain boleh lawan.
“Orang yang simpan pelbagai masalah dalam helmet dia, yang kita semua tak tahu! The real unsung hero,” tulisnya.
Filem aksi TARUNG: Unforgiven yang tampil dengan tagline ‘kau cuma ayam sabung’ mengangkat naratif berani dengan menjadikan kehidupan sebagai ‘gelanggang’ sebenar.
Karya arahan Razaisyam Rashid itu diterbitkan oleh ALPHA47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw.
Selain jalan cerita sarat emosi hasil tulisan bersama Amar Amir, filem tersebut dibintangi Mierul Aiman, Aedy Ashraf, Bront Palarae, Zul Ariffin, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz dan Sharifah Sakinah.
Tarung: Unforgiven kini ditayangkan di 148 pawagam seluruh negara.
Sinopsis:
Hatta (Mierul Aiman) merupakan seorang bekas juara silat, diburu dosa silam selepas berlakunya satu tragedi.
Namun, demi menyelamatkan kakaknya, dia menerima tawaran daripada Paduka Badrul (Zul Ariffin) untuk ke gelanggang haram.
Hatta tidak menyedari lawan yang menanti ialah Isa (Aedy Ashraf), sahabat lama yang kini menjadi musuh akibat dendam.
Sumber: Threads @amir.ahnaff