Sekilas
- Azlan Komeng menafikan dakwaan perceraian dengan bekas isteri, Nur Nilam Ortiz, disebabkan orang ketiga kerana mereka banyak menghabiskan masa bersama.
- Azlan mengakui tidak mampu menghalang spekulasi orang ramai tetapi berharap tiada lagi tuduhan melibatkan orang ketiga dibuat tanpa bukti.
- Mereka masih menjaga hubungan baik demi perniagaan dan anak-anak selepas mengesahkan perceraian mereka yang berlaku selepas berkahwin pada Januari 2022 dan dikurniakan seorang anak pada September tahun lalu.
Pelakon, Azlan Komeng menafikan dakwaan yang mengatakan perceraiannya bersama bekas isteri, Nur Nilam Ortiz berlaku disebabkan orang ketiga.
Menurut Azlan atau nama sebenarnya Mohd Azlan Kamiran, kecenderungan untuk dirinya berlaku curang sangat tipis kerana dirinya banyak menghabiskan waktu bersama Nilam.
“Saya nak tegaskan di sini bahawa perceraian saya dan Nilam bukan berlaku kerana orang ketiga.
“Sepanjang saya dengan Nilam, bila masa saya keluar ke mana-mana tanpa Nilam? Kecuali kalau saya ada penggambaran atau outstation, barulah kami tak keluar bersama.
“Jadi peluang untuk saya berlaku curang itu tipis dan tak akan berlaku,” katanya kepada Gempak.
Walau bagaimanapun, Azlan menegaskan bahawa dia tidak mampu menutup mulut orang daripada melemparkan dakwaan sebegitu kepadanya susulan beberapa spekulasi yang melibatkan dirinya sebelum ini.
“Cuma saya pasti orang ramai akan menyangka perkara itu menjadi punca sebab mereka sudah dimomokkan dengan berita itu sebelum ini.
“Kalau nak terus buat spekulasi, teruskan dan tunjuk bukti. Kadang-kadang rasa kelakar juga sebab ada yang buat spekulasi begitu sedangkan saya ini tak kacak, tak ramai perempuan nak pun.
“Nak suruh orang diam memang susah, cuma saya berharap agar orang ramai tidak lagi mengeluarkan spekulasi atau mengaitkan saya dengan orang ketiga,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azlan memaklumkan dia dan Nilam akan terus menjaga hubungan baik sebagai sahabat demi kelangsungan perniagaan serta anak-anak mereka.
“Ketika ini kami masih menjaga hubungan baik dan fokus kami adalah terhadap bisnes dan juga anak-anak,” kongsinya lagi.
Pada Jumaat, Azlan dan Nilam mengesahkan bahawa mereka sudah pun bercerai namun memilih untuk berkongsi secara terperinci mengenai tarikh mahupun punca sebenar perpisahan itu.
Terdahulu, hantaran media sosial dibuat Nilam mencetuskan kontroversi dan spekulasi apabila memberi bayangan bahawa dirinya akan hidup seorang diri bersama anak.
Untuk rekod, Azlan dan Nilam mendirikan rumah tangga pada 22 Januari 2022 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata pada September tahun lalu.
Nilam juga mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu yang kini berusia enam tahun.