Sekilas
- Ariana Grande meluahkan kemarahan selepas lagunya 'Bye' digunakan dalam video promosi operasi Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) yang dimuat naik oleh akaun TikTok rasmi White House.
- Video tersebut menggunakan lagu itu sebagai muzik latar dan kapsyen yang berkaitan, menyebabkan Ariana menegur agar muziknya tidak dikaitkan dengan perkara kejam dan tidak berperikemanusiaan.
- Susulan itu, audio lagu 'Bye' telah dibisukan, dan beberapa artis lain seperti Sabrina Carpenter, SZA, dan Olivia Rodrigo juga pernah membantah penggunaan lagu mereka dalam video berkaitan operasi ICE.
Penyanyi, Ariana Grande meluahkan rasa marah selepas lagunya yang berjudul Bye digunakan dalam sebuah video yang dimuat naik oleh pihak 'White House' bagi mempromosikan operasi Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE).
Video tersebut dimuat naik menerusi akaun TikTok rasmi White House Jun lalu dan memaparkan rakaman anggota ICE bersama beberapa agensi lain ketika menjalankan operasi penahanan individu berkaitan isu imigresen.
Lebih mencetuskan perhatian, video itu menggunakan lagu Bye daripada album Eternal Sunshine sebagai muzik latar.
Malah, kapsyen yang digunakan turut mengambil inspirasi daripada tajuk lagu tersebut.
“Bye-bye. Presiden Trump telah memberikan sempadan paling selamat dalam sejarah,” tulis akaun berkenaan.
Tidak berdiam diri, Ariana tampil meninggalkan komen pada hantaran tersebut dua hari kemudian.
“Tolong jangan sesekali gunakan muzik saya berkaitan perkara yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan mengerikan seperti ini,” tulisnya.
Susulan reaksi tersebut, audio lagu Bye dilaporkan telah dibisukan daripada video berkenaan.
Ariana bukanlah artis pertama yang membantah penggunaan muzik mereka oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.
Sebelum ini, Sabrina Carpenter turut mengkritik penggunaan lagunya Juno dalam video berkaitan operasi ICE.
Penyanyi SZA juga pernah menyelar pihak Rumah Putih selepas lagu parodinya Big Boys digunakan dalam sebuah video berkaitan penahanan pendatang tanpa izin.
Menurut SZA, tindakan menggunakan artis sebagai umpan untuk mencetuskan kemarahan demi publisiti adalah sesuatu yang sangat gelap dan membimbangkan.
Dalam masa sama, Olivia Rodrigo turut meluahkan rasa kecewa apabila lagunya All-American Bitch digunakan dalam video kempen yang menggesa pendatang tanpa dokumen meninggalkan negara itu.