Sekilas
- Episod keenam siri Good Boys Go To Heaven (GBGTH) membawa penonton menyelami trauma dan memori hilang Yasser yang semakin terbongkar.
- Episod ini juga menampilkan kesan tindakan Yasser terhadap rakan-rakannya, Zayd dan Bahamin, serta tekanan emosi yang dialaminya.
- Siri ini kini memasuki episod keenam dan akan bersambung dengan dua episod terakhir untuk mengungkap dalang pembunuhan Ahyan.
Sudah memasuki episod keenam, siri premium Astro Shaw, Good Boys Go To Heaven (GBGTH) terus membuatkan penonton berteka-teki apabila jalan ceritanya membawa penonton ke satu tahap yang lebih mendebarkan.
Jika sebelum ini Yasser dilihat seakn bergelut ketika berusaha mencari jawapan di sebalik kematian Ahyan, episod kali ini menyaksikan dia mula berlawan dengan memori yang selama ini seakan hilang dari ingatannya.
Dalam episod yang bertajuk Original Sin itu, penonton dibawa bersama untuk menyelami sisi psikologi Yasser dengan lebih mendalam apabila trauma yang dipendam mula terbongkar sedikit demi sedikit.
Lebih menyentuh hati, episod keenam turut memperlihatkan bagaimana tindakan Yasser sebelum ini memberi kesan kepada orang-orang di sekelilingnya.
Bukan itu sahaja, episod kali ini turut merungkai kejadian yang menimpa Zayd dan Bahamin yang merupakan rakan kepada Yasser sejak kecil.
Rasa bersalah dan penyesalan mula menghantui dirinya sehingga membuatkan setiap keputusan yang diambil semakin sukar untuk dihadam sekali gus menambahkan lagi tekanan emosi.
Kesimpulannya, Episod 6 bukan sekadar menggerakkan jalan cerita, malah membawa penonton lebih dekat dengan sisi gelap dan trauma yang selama ini menghantui Yasser, Zayd dan juga Bahamin.
Sekadar info, siri GBGTH kini sudah pun memasuki episod keenam dan hanya berbaki dua lagi episod bagi mengetahui siapakah dalang sebenar kepada pembunuhan Ahyan.
Good Boys Go To Heaven mengisahkan Yasser (Beto Kusyairy) seorang bapa yang melalui detik paling gelap dalam hidup apabila anak lelakinya, Ahyan dilaporkan hilang sebelum ditemui meninggal dunia dalam keadaan tragis.
Good Boys Go To Heaven sudah pun mula ditayangkan dan akan menemui penonton setiap Jumaat jam 9 malam di Astro Citra, selain boleh distrim lebih awal menerusi Astro GO serta aplikasi Sooka bermula 12 tengah malam.