Pelakon cantik Indonesia, Nikita Willy akhirnya berbicara mengenai proses perubahan dirinya yang kini sudah berhijab. Sebelum ini, Nikita memang dilihat memakai hijab selepas pulang menunaikan umrah bersama keluarga.
Namun wanita itu tidak memberi penjelasan sama ada dirinya berhijab buat sementara waktu atau memang telah mengambil keputusan untuk berbuat demikian di seluruh kehidupannya.
Sewaktu menjadi tetamu di saluran YouTube Atta Halilintar, Nikita memberitahu dia kini memilih menutup aurat dan berhijab atas beberapa sebab. Antara faktor yang mendorong dirinya berhijab adalah kerana anak sulungnya, Issa Xander Djokosoetono.
“Jadi selepas saya pulang umrah, saya diberi tudung oleh guru mengaji Issa. Saya tanya ‘Ini apa Miss’? Guru ngaji Issa pun cerita ‘saya mahu beri Issa hadiah kerana semakin bijak mengaji. Saya tanya apa hadiah yang Issa mahu? Dia kata mahu beli tudung untuk ibu.’
“Nah dari situ saya berasa adakah ini petanda saya perlu berhijab?,” katanya seperti dilaporkan Detik.
Bintang Cinta Buta berusia 31 tahun itu juga mengungkapkan dia mempunyai alasan lain untuk berhijab. Namun apa yang penting buat isteri Indra Priawan ini adalah dia mahu perlahan-lahan istiqamah dan konsisten berhijab.
Diketahui Nikita dilihat menggenakan hijab selepas pulang menunaikan umrah pada Ramadan tahun ini. Ramai peminat yang bersyukur melihat perubahan idola kesayangan mereka telah menutup aurat.