Sekilas
- El Riss mempertahankan lagu duetnya bersama Fana Ibrahim, Adat Bercinta, yang dikritik sebagai 'lagu rempit' dan menegaskan muzik tidak perlu dilabelkan mengikut genre tertentu.
- Lagu ini membawa elemen emosi dan gaya penyampaian berbeza daripada trend pop balada dan R&B, hasil keserasian dan eksplorasi vokal antara kedua-dua penyanyi.
- Walaupun peluang ke Anugerah Juara Lagu (AJL) dianggap mencabar, El Riss dan Fana tetap berpegang pada identiti muzik mereka dan berharap lagu ini diterima ramai.
Dilabel sebagai 'lagu rempit', penyanyi muda El Riss akhirnya tampil bersuara mempertahankan lagu Adat Bercinta duetnya bersama Fana Ibrahim yang kini menjadi bualan warganet.
Menurut El Riss, stigma sebegitu sudah terlalu lama wujud dan tidak lagi relevan dalam menilai sesebuah karya muzik. Katanya, muzik sepatutnya dinikmati tanpa dikotakkan kepada kategori tertentu.
“Saya terima sahaja pandangan orang. Tapi bagi saya, tak perlu labelkan lagu sebagai ‘lagu rempit’.
“Kadang-kadang orang dengar lagu ikut situasi. Lagu jiwang pun orang boleh dengar sambil naik motor. Itu normal,” katanya kepada Gempak.
El Riss berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran lagu Adat Bercinta di Bangi, Selangor, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, stigma tersebut hanya mengehadkan cara orang menghargai muzik, sedangkan setiap genre mempunyai tempat dan pendengar tersendiri.
“Yang penting, kita raikan kepelbagaian muzik. Tak perlu sempitkan dengan label tertentu,” ujarnya.
Dalam masa sama, rakan duetnya, Fana Ibrahim turut melihat perkara tersebut sebagai sebahagian daripada cabaran dalam industri, terutama apabila sesuatu lagu tidak mengikut arus perdana.
Isu ini timbul susulan pelancaran Adat Bercinta, yang membawa elemen emosi dan gaya penyampaian berbeza berbanding trend semasa yang lebih cenderung kepada pop balada atau R&B.
Menurut El Riss, lagu tersebut sebenarnya lahir daripada keserasian antara mereka berdua, termasuk eksplorasi vokal dan pendekatan penyampaian yang lebih jujur.
“Ilham lagu ini datang daripada banyak perkara. Antaranya keserasian antara kami berdua untuk membawakan lagu ini. Dari segi vokal juga, kami banyak belajar dengan menonton video dan rujukan penyanyi lain untuk memahami cara penyampaian.
"Lagu ini sangat jujur. Ia bukan hanya tentang cinta yang indah, tetapi tentang realiti hubungan yang ada turun naik. Saya rasa ramai akan nampak diri mereka dalam lagu ini,” jelasnya.

Namun begitu, kedua-dua penyanyi ini bersikap realistik apabila ditanya mengenai peluang lagu tersebut untuk menembusi pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Kalau cakap pasal AJL, bagi saya agak mencabar. Sekarang banyak lagu moden keluar, seperti pop balada dan R&B. Lagu ini pula lain sikit.
“Saya tak letakkan harapan terlalu tinggi, tapi dalam masa sama masih berharap. Kalau ada rezeki, kita terima,” kata El Riss.
Fana pula mengakui trend semasa mungkin tidak memihak kepada genre seperti 'Adat Bercinta'.
“Bagi saya, agak sukar juga untuk lagu ini ke AJL sebab trend sekarang lebih kepada pop dan R&B. Genre lagu ini mungkin sedikit berbeza,” katanya.

Walaupun berdepan pelbagai persepsi, El Riss tetap berpegang kepada identiti muziknya sendiri dan tidak mahu terlalu terikat dengan label yang diletakkan oleh segelintir pihak.
“Saya memang suka muzik yang ada elemen 90-an. Itu antara gaya yang saya minat.”
El Riss, sebelum ini dikenali menerusi platform TikTok sebelum mencipta fenomena dengan lagu Lukisan yang meraih lebih 13 juta tontonan.
Dalam masa sama, Fana Ibrahim yang berusia 18 tahun dilihat sebagai antara bakat baharu yang semakin menyerlah dalam industri muzik tempatan.
Selepas memperkenalkan single sulung Tanpa Relaku, Fana terus mencuri perhatian menerusi keupayaannya sebagai penyanyi dan pemuzik, khususnya kemahiran bermain gitar yang menjadi identiti tersendiri.
Single Adat Bercinta kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 24 April 2026.