Sekilas
- Wanita yang tular dimarahi suaminya jelaskan video tersebut dirakam empat bulan lalu dan telah diviralkan semula baru-baru ini.
- Suaminya marah kerana risau akan lewat kerja selepas wanita itu memilih untuk kerja lebih masa, bukan kerana masalah lain.
- Suami wanita itu memohon maaf secara terbuka dan berjanji akan memperbaiki sikapnya ke arah kebaikan.
Seorang wanita yang sebelum ini tular dimarahi seorang lelaki dipercayai suaminya tampil menjelaskan perkara sebenar disebalik insiden tersebut.
Menerusi perkongsian seorang individu di Threads, wanita itu mendakwa video kejadian tersebut berlaku berbulan lamanya sebelum mula tular di media sosial sejak Selasa.
Menurut wanita itu, punca sebenar suaminya bertindak sedemikian adalah kerana bakal lewat ke tempat kerja selepas dia memilih untuk menyambung kerja lebih masa.
“Video yang awak tengok tu sebenarnya empat bulan yang lepas tapi diviralkan semalam (Rabu) dan dah ditokok tambah.
“Sebenarnya suami saya datang ke tempat kerja saya sebab dia nak masuk kerja pukul tujuh tapi saya pula kena overtime (ot) sampai pukul tujuh.
“Sebab itulah suami saya suruh ambil anak sebab dia nak masuk kerja,” kongsinya.
Dalam masa sama, wanita tersebut turut menafikan dakwaan yang mengatakan kononnya anak mereka menangis kerana dimarahi suaminya.
Malah, dia mendakwa suaminya mempunyai nada suara yang lantang sehingga menyebabkan ramai pihak menyangkakan lelaki itu memarahi dirinya.
“Anak saya menangis sebenarnya bukan sebab kena marah dengan suami tapi sebab dia terjatuh terkena batu. Jadi bila terjatuh saya terus ambil dan dukung dia.
“Ada yang kena sebab kena tengking dengan suami saya tapi sebenarnya tak. Suami saya memang suara dia kuat. Saya dah hidup dengan dia lama jadi saya tahu percakapan dan suara dia macam mana,” kongsinya lagi.
Sementara itu, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Mohd Hakeem tampil membuat permohonan maaf dalam satu hantaran yang dibuat di Facebook.
Ujarnya, dia mengakui kesilapan dan akan berusaha untuk mengubah dirinya ke arah kebaikan.
“Sekali lagi saya dengan rendah hati memohon maaf kepada semua yang terlibat dalam hidup saya insyaallah saya akan ubah sikap saya yang tak baik.
“Saya doakan semoga semua yang terlibat dalam hidup saya insya-Allah diberi kebahagiaan dunia dan akhirat. Insan yang penuh dengan kekurangan,” ujarnya.

Terdahulu, tular satu video memaparkan seorang pekerja di sebuah restoran makanan segera yang didakwa telah dimarahi oleh seorang lelaki dipercayai suaminya.
Menerusi video yang tular itu, dapat dilihat wanita tersebut dimarahi sebelum terpaksa menangguhkan kerjanya dan pulang ke bersama lelaki tersebut dan anaknya dengan menaiki motosikal.
Sumber: Threads